Calon ketua, naib ketua dakwa dipecat Umno Bahagian Bagan

Calon ketua, naib ketua dakwa dipecat Umno Bahagian Bagan

Calon bagi pemilihan jawatan Ketua Umno Bahagian Bagan, Mohamad Afendi Azni serta calon bagi jawatan Naib Ketuanya, Shahbani Mat Diasa mempertikaikan tindakan Umno Bahagian kerana cuba menyekat mereka bertanding bagi pemilihan jawatan berkenaan hari ini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Mohamad Afendi berkata, surat pemecatan yang diterima pada 29 Jun adalah berniat jahat bagi menyekat beliau bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian.

Jelasnya lagi, lebih mengecewakan surat pemecatan sebagai ahli Umno hanya diserahkan pada jam 5,30 petang 29 Jun, sedangkan pemilihan bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian adalah pada 30 Jun.

“Surat pemecatan oleh Umno Bahagian ini tidak sah kerana kami tidak pun menerima apa-apa surat dari Lembaga Disiplin Umno Malaysia sekiranya benar.

“Seandianya ia betul, kenapa surat pemecatan hanya diserahkan hanya beberapa jam sebelum pemilihan jawatan tersebut.

“Dengan tindakan ini kami telah dihalang bagi membuat pemilihan untuk sebarang jawatan Presiden yang akan ditandingi oleh Khairy Jamaludin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah, ” ujarnya kesal.

Manakala Shahbani yang turut bertanding bagi merebut jawatan Naib Ketua Umno Bahagian pada hari ini turut kesal kerana tindakan yang diambil oleh Umno Bahagian Bagan seolah-olah cuba memberi laluan mudah menang tanpa bertanding kepada Ketua Umno Bahagian serta jawatan Naib Ketua Umno Bahagian.

“Tindakan mereka ini adalah bagi menyekat penyokong kepada salah seorang calon Presiden untuk memberi sokongan kepada calon yang akan bertanding pada hari ini.

“Lebih mendukacitakan surat pecatan atau tindakan disilipin dari Umno Malaysia tidak pun diberikan kepada kami, kecuali surat dari Umno Bahagian dan Perhubungan Umno Negeri yang amat meragukan.

“Seandainya pemecatan ini betul, kami ingin tahu bilakah tarikh mesyaurat jawatankuasa Umno Bahagian yang mengambil keputusan untuk pemecatan sedangkan saya adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bagan, ” tegasnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, Umno Malaysia harus mengambil tindakan drastikan dengan segera menangguhkan persidangan Umno Bahagian Bagan kerana tindakan mereka menyekat dan menghalang calon yang akan bertanding dalam pemilihan dibuat secara tidak sah dan berniat jahat.

Tambahnya lagi, mereka tidak pernah melanggar apa-apa peraturan yang termaktub dalam Perlembagan Umno sebagai ahli.

Sebaliknya, pemecatan ini berunsur fitnah yang berniat jahat semata-mata bagi memastikan tampuk pemerintahan Umno Bahagian tetap kekal diterajui oleh pimpinan lama yang tidak berfungsi serta enggan memberi laluan kepada pimpinan baru yang ingin membawa pembaharuan kali ini.