Calon kitar semula BN tidak gentarkan PH

Calon kitar semula BN tidak gentarkan PH

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin berkata, PH tidak gentar untuk berhadapan dengan calon-calon kitar semula Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Kata beliau, PH amat yakin pada PRU14 kali ini, rakyat telah sedar akan kebejatan yang berlaku di dalam pemerintahan UMNO/BN.

Jelas Zuraida, rakyat Malaysia dikejutkan dengan ura-ura bahawa Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang terkenal dengan skandal NFC akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU14 kali ini.

“Selepas kalah pada tahun 2008 dalam PRU12, ramai pemerhati politik menjangkakan bahawa riwayat politik Ketua Wanita Umno itu telah ditamatkan atas kehilangan kerusi Parlimen Lembah Pantai kepada YB Nurul Izzah Anwar.

“Namun begitu beliau tetap terus “disimpan” oleh Perdana Menteri sungguhpun telah menjadi liabiliti untuk Umno dan BN.

“Mungkin kerana kekurangan calon atau ketandusan dalam kepimpinan Umno-BN, Tan Sri Shahrizat Jalil terbit semula setelah sekian lama mendiamkan diri untuk kembali ke dalam arena politik Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Kata Ahli Parlimen Ampang itu, ini bukanlah satu perkara yang pelik dalam Umno, kerana parti tersebut sering meletakkan calon-calon yang kontroversi, contohnya Tan Sri Mohd Isa Samad yang baru-baru ini telah disebut-sebut untuk mempertahankan kerusi beliau.

PH tambahnya, tidak gentar untuk berhadapan dengan calon-calon kitar semula seperti ini kerana kami amat yakin pada PRU14 kali ini, rakyat telah sedar akan kebejatan yang berlaku di dalam pemerintahan Umno-BN.

“Sekalipun mereka dapat lari dari dihukum oleh sistem perundangan negara, kami yakin seluruh rakyat Malaysia akan menghukum mereka melalui sistem demokrasi.

“Kami di PH menyeru rakyat Malaysia untuk menolak semua calon Barisan Nasional pada PRU-14 kali ini.

“Kita buktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia tidak akan menyokong sebuah rejim kleptokrat yang telah terang-terangan memperalatkan mandat yang diberikan oleh rakyat untuk kepentingan peribadi mereka sendiri.” katanya.

7.5
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 9.0