Malaysia Dateline

Calon Melayu perlu bertanding di PRK Rantau, kata Rais

PKR disaran memilih calon Melayu , berwibawa dan berintegriti  untuk berhadapan dengan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau, kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan.

Tan Sri Dr Rais Yatim berkata sebaik-baiknya calon tersebut perlu mewakili masyarakat Melayu dan dapat diterima pengundi di Rantau.

“Sekiranya calon luar atau kaum lain maka sekaligus pemilihan calon Pakatan Harapan  itu mewakili golongan minoriti. Dengan itu, sukar untuk Melayu menyokong calon yang mewakili kaum minoriti.

“Bukan mudah bagi kita menentukan kriteria tetapi calon itu mestilah dikenali oleh masyarakat setempat dan bukan sebagai calon yang baru dan tidak dikenali serta tiada kewibawaan  yang akan dikambing hitamkan,,” katanya ketika dihubungi Malaysiadateline.

Beliau ditanya kemungkinan besar BN mengekalkan calon tiga penggal di Dun Rantau Mohamad untuk mengekalkan kerusi yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Ini kerana Biro Politik PKR akan  mengenal pasti calon yang akan bertanding  di Rantau, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan pada Sabtu ini.

Beliau turut menegaskan imej calon yang bakal dipertandingkan perlulah berintegriti dan berpotensi memimpin  Beliau juga tidak menolak kemungkinan PH akan tewas sekali lagi jika silap membuat perhitungan dalam memilih calon yang bertepatan di Rantau.

“Kekalahan PH di Semenyih telah meningkatkan imej BN walaupun ini sesuatu yang amat mengejutkan. Kemenangan di Semenyih sekaligus seperti menghalalkan pimpinan yang korupsi dan salah guna kuasa.

“Tapi apa boleh buat, rakyat dah buat keputusan. Jadi apa yang saya lihat trend di Cameron Highlands dan Semenyih amat mudah berjangkit ke Rantau.

“Rakan dalam  PKR harus menerima ini sebagai realiti yang harus dicairkan dan mencari jalan keluar dalam bentuk calon yang berpotensi tinggi,” katanya.

Dr Rais  berkata kekalahan PH di Semenyih perlu dianalisis punca kekalahan walaupun menyedari gabungan Pas dan Umno merupakan salah satu punca utama kekalahan tersebut.

“Tetapi pada pandangan saya, sebab paling besar juga ialah kegagagalan kita (PH) mengotakan manifesto utama  setelah menang pada 9 Mei yg lalu.

“Jadi dalam keadaan begitu, calon Rantau perlu diteliti oleh pimpinan PKR dan saya rasa itu (ciri-ciri calon) perlu diutamakan,”katanya.

PRK Rantau diadakan susulan pada PRU14, calon BN yang kini Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang kerusi Dun Rantau tanpa bertanding selepas Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat pencalonan.

Dr Streram kemudiannya memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad itu.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lepas mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi Dun Rantau terbatal dan tidak sah. Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan pula menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban itu sekali gus membuka laluan untuk PRK diadakan di Dun Rantau.