Calon Pakatan Harapan di PRK serentak untuk satukan pembangkang, kata Dr. Dzul

Calon Pakatan Harapan di PRK serentak untuk satukan pembangkang, kata Dr. Dzul

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Meletakkan calon di pilihan raya kecil serentak 18 Jun ini adalah azam bagi Pakatan Harapan berhadapan dalam perlawanan PRU14 ini melalui satu muafakat politik atas satu platform pembangkang.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini bagi memenuhi kehendak pengundi yang mahukan pembangkang bersatu dalam muafakat pembangkang supaya mampu mencetuskan satu serangan oposisi yang kuat terhadap kerajaan yang telah terlalu lama memerintah.

Memahami mood rakyat terutama golongan muda yang sebahagiannya bosan dengan senario politik semasa, Dr Dzulkefly menyeru supaya blok pembangkang fokus untuk bersatu.

Beliau berkata, sudah sampai masanya kesemua parti politik menukar orientasi politik masing-masing dengan berusaha lebih memahami tuntutan rakyat.

“Perlu fahami harapan dan kebimbangan rakyat. Zaman ‘kami mengetahui semua perkara’ sudah berakhir. Pandang sisi ‘demand’ bukan ‘supply’. Parti politik harus berani bersedia untuk mendengar rintihan rakyat.

“Pembangkang perlu menyusun langkah dalan satu derap langkah. Itu permintaan rakyat kalau parti politik tidak mahu dihukum, perlu berani sedia berubah,” tegasnya dalam forum “Tiga Penjuru: Pembangkang Rugi?” di Petaling Jaya malam tadi.

Mengulas pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada bulan Ramadan depan, ujarnya, rakyat perlu mempunyai ‘ilmu pertandingan’.

“Walaupun rakyat mahu satu lawan satu tetapi rakyat perlu ada sedikit ilmu pertandingan. Pentingnya ‘tactical move’ bagi mencapai kemenangan. Mungkin tiga penjuru memberi lebih kebaikan kepada pembangkang,” tambahnya.

Memberi reaksi terhadap pendapat salah seorang peserta forum bahawa Amanah bakal dilihat berjiwa besar jika tidak bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen rebutan itu, Dr Dzulkefly berkata, parti itu sebaliknya akan dihujani pelbagai tanggapan negatif jika berbuat demikian.

“Ada yang kata biar Pas yang menentang Umno, ketika Pas tersungkur baru Pas merangkak ke meja rundingan (blok pembangkang). Nah, ini satu lagi persepsi.

“Tetapi kalau Amanah tidak bertanding, Amanah akan ditohmah kononnya tidak memiliki keupayaan, tiada jentera, tiada calon, isunya tiada apa yang ditawarkan,” jelasnya yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pas Kuala Selangor.

Beliau bagaimanapun turut mengakui gabungan pembangkang yang kukuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) penting jika benar-benar mahu menjatuhkan rejim Umno-BN.

“Hakikatnya (dalam tempoh) beberapa bulan disaksikan, hampir sukar kalau bukan mustahil untuk menyatukan pembangkang. Pakatan Harapan terpaksa menegaskan dalam perlawanan PRU14 ini sepatutnya hanya satu muafakat politik atas satu platform pembangkang,” katanya.

TAGS