Malaysia Dateline

Calon, parti diminta dapat patuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen

Calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands digesa agar mematuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, SPR telah mengadakan perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan tiada mana-mana pihak melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

Katanya, PDRM, khususnya Kontinjen Pahang telahpun membuat persiapan rapi di semua peringkat PRK iaitu sewaktu penamaan calon, tempoh kempen, hari mengundi dan selepas mengundi.

Azhar Azizan Harun

SPR yakin bahawa PDRM mampu menangani sebarang kemungkinan serta menentukan keselamatan berada di tahap maksimum untuk membolehkan calon dan pengundi-pengundi melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka.

“Sehubungan dengan itu, SPR menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada PRK Cameron Highlands agar mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya selama 14 hari yang bermula dari Hari Penamaan Calon sehingga jam 11.59 malam, 25 Januari 2019.

“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa Hari Mengundi,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.

SPR menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya seperti aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset Kerajaan, program Kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.

“Dalam hubungan ini, SPRM bersetuju untuk meletakkan pegawai dan anggota di “kawasan-kawasan panas” untuk membanteras kegiatan membeli undi.

“Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” ujarnya.

Katanya lagi, SPR dalam usaha untuk memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman dan harmoni, semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik, calon-calon yang bertanding, penyokong-penyokong parti politik, diminta supaya mematuhi semua undang-undang dan peraturan pilihan raya serta arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, PDRM, SPRM atau pihak berkuasa lain.

“Sekiranya mana-mana pihak mendapati semasa tempoh rasmi kempen, telah wujud pelanggaran undang-undang dan peraturan khususnya yang berkaitan dengan amalan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Akta SPRM, SPR menyarankan supaya laporan atau aduan dikemukakan kepada pihak SPRM.

“Manakala bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM. Lain-lain kesalahan sekiranya berlaku hendaklah dilaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil,” ujarnya lagi.

SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada Hari Mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang. Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak mengugat ketenteraman awam.

Baca: SPR