Calon Pas langgar arahan kempen di masjid, surau di Selangor

Nurul Islam memberikan ucapan di Surau At-Tarbiyyah, Taman Bukit Indah, Ampang.

Calon Pas untuk Parlimen Ampang, Nurul Islam Mohamed Yusof didakwa derhaka kepada perintah Sultan Selangor apabila menggunakan surau untuk berkempen.

Nurul dilaporkan berkempen di Surau At-Tarbiyyah, Taman Bukit Indah, Ampang pada Ahad 29 April lepas dengan bangun berucap sebaik sahaja selesai solat Maghrib.

Beliau didakwa berucap sebelum kuliah Maghrib bermula di surau itu.

Ia bertentangan dengan Pekeliling Khas Mais bertarikh 24 April 2018 yang melarang mana-mana calon pilihan raya berkempen menggunakan masjid dan surau.

Menurut pekeliling itu, semua calon yang mewakili mana-mana parti politik DILARANG sama sekali untuk menyampaikan ceramah, tazkirah, kuliah atau khutbah di mana-mana masjid atau surau di Selangor sekalipun mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Melalui pekeliling itu juga, Mais meminta semua individu yang terpilih sebagai calon meletakkan jawatan mereka sebagai pengerusi atau ahli jawatankuasa mana-mana kariah masjid dan surau sebelum hari penamaan calon.

Menurut sumber, arahan supaya masjid dan surau tidak digunakan untuk tempat kempen pilihan raya ini dititahkan oleh Sultan Selangor sendiri.