Calon Pas tiada potensi lawan BN, kata Husam

Calon Pas tiada potensi lawan BN, kata Husam

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa menyatakan pendiriannya menyokong calon Amanah berikutan calon Pas tidak berpotensi.

“Hasrat nak sertai Amanah memang ada tetapi keputusan muktamad belum dibuat.

“Ini kerana saya dalam Pas belum betul-betul putus. Saya dalam edah lagi tempoh bertenang, dalam pantang.

“Saya masih menganggap Pas masih boleh membatalkan pemecatan saya.

“Dalam masa sama kalau dua calon Amanah kalah teruk dalam PRK ini, mungkin saya akan balik pada Pas,” ujarnya kepada media selepas selesai siri ceramah Pakatan Harapan yang diadakan di Pasir Panjang, Sungai Besar malam tadi.

Mengulas mengapa beliau menyokong calon Amanah berbanding Pas pada PRK kali ini, Husam mendakwa calon Pas tidak berpotensi untuk menang menentang BN.

Beliau berkata, tanggungjawab pengundi adalah untuk memenangkan calon yang berpotensi dengan tujuan amat penting untuk membetulkan segala penyelewengan dilakukan oleh kerajaan BN selama ini.

“Tanggungjawab kita (pengundi) memenangkan calon yang paling berpotensi membetulkan penyelewengan negara dilakukan kerajaan kita hari ini.

“Jika calon Pas berpotensi saya sokong calon Pas tetapi saya dapati Pas ditolak sebahagian rakyat kerana sikapnya yang tidak konsisten.

“Saya mengira calon yang paling berpotensi untuk menang menentang calon Datuk Seri Najib (calon BN) adalah calon Amanah,” ujarnya.

Husam turut menjelaskan beliau sudahpun menerima surat pemecatannya pada 23 Mei lalu secara pos biasa.

Walaupun begitu bekas naib presiden Pas ini telah menulis surat khusus kepada presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta pemecatan beliau dibatalkan.

Mengulas sebab beliau tidak membuat pendirian untuk memilih sama ada keluar Pas dan menyertai Amanah pada ketika kehangatan kempen PRK untuk menunjukkan pendirian sebenar beliau, Husam berkata:

“Saya fikir masih ada lagi masa yang panjang sebelum pilihan raya umum. Kita akan lihat progres politik yang bakal berlaku dalam Pas.

“Tidak menjadi masalah bersabar untuk menunggu masa yang sesuai saya akan umumkan (sertai Amanah atau kekal dalam Pas),” ujarnya.

Dalam ceramahnya juga, Husam menyebut pada PRU13 lalu beliaulah yang melancarkan gerak kerja Pas di 12 Parlimen yang ditandingi parti itu.

“Jadi saya minta rakan daripada Pas yang nak kekal dengan Pas tiada masalah. Tetapi dalam PRU apa agenda bersama kita sebagai rakyat Malaysia. Kita kena mengetahui masalah negara kita.

“Masalah negara kita sama ada BN, Pas, Amanah, PKR dan DAP adalah salah urus negara oleh Najib. Undi ahli Pas adalah pada satu calon yang paling berpotensi untuk menang bagi mengalahkan calon BN atau calon Najib,” ujarnya.

Menurut beliau, jika ahli dan penyokong Pas memilih calon BN maka Najib sebagai perdana menteri akan terus menekan rakyat dan menghalang skandal 1MDB daripada disiasat.

COMMENTS

Wordpress (0)