Malaysia Dateline

Calon Pengerusi PAC mesti ditentukan sebelum tamat sidang dewan

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan ArifinĀ  berkata kerajaan dan ahli PAC perlu segera membuat keputusan menentukan siapa calon sesuai dilantikĀ  sebagai Pengerusi PAC baharu.

Beliau juga berkata tempoh dua bulan untuk mencari calon mengantikan Datuk Seri Ronald KiandeeĀ  sebagai terlalu lama dan tidak seharusnya melebihi dua bulan.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli PAC perlu bertindak pantas mencari calon baharu sebelum tamat sidang dewan rakyat di parlimen.

“Satu bulan merupakan tempoh yang cukup lama, apatah lagi dua bulan. Pihak kerajaan perlu cepat buat keputusan melantik Pengerusi baharu.

“Sekurang-kurangnya sebelum tamat sesi Dewan Rakyat bersidang, Pengerusi baharu sudah ada,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian susulan ahli jawatankuasa PAC, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus semalam, yang dilaporkan berkata sekurang-kurangnya dua bulan diperlukan untuk mencari calon baharu.

Baca: Pengerusi PAC baharu

Ditanya tentang tindakan Ahli Jawatankuasa PAC BN dan Pas yang meletakkan jawatan, beliau berpendapat ianya merupakan pendirian mereka dan tindakan peribadi.

Pada Isnin kesemua Ahli Parlimen pembangkang yang juga merupakan ahli Jawatankuasa PAC meletakkan jawatan berkuat-kuasa serta merta.

Kesemua ahli Parlimen pembangkang itu merangkumi dua dari Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta seorang dari Pas iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Perkara itu disahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu keputusan itu diambil disebabkan kecewa Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan janji manifesto untuk melantik Pengerusi PAC dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

Ditanya tentang calon yang sesuai dilantik sebagai pengerusi, beliau berkata ia bergantung kepada keputusan pihak pembangkang.

“Ketua pembangkang dan ‘whip’ parti yang akan cadang dan lantik calon baharu.” ujar Ahli Parlimen Rompin ini.