Malaysia Dateline

Calon Perdana Menteri : PKR sedia berbincang

PKR menyatakan kesediaannya untuk berbincang berhubung calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus (PH Plus) selepas nama Ketua Presiden Warisan muncul sebagai calon Perdana Menteri mewakili gabungan itu.

Susulan konflik yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu lagi berbincang dengan PKR, Mahathir dikatakan telah mencadangkan nama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon PM dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dicadangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, biarpun mereka sedia berbincang namun sebarang keputusan di peringkat PH masih perlu diputuskan oleh Majlis Presiden.

Saifuddin mengingatkan, sebarang cadangan baharu yang timbul ketika ini tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh.

“MPP berpendirian bahawa kerjasama di antara parti-parti PH mesti diperkukuh.

“PKR kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera.

“(iaitu) dalam bentuk yang telah diberi oleh rakyat kepada PH pada Pilihanraya Umum ke-14 termasuk dalam isu peralihan kuasa dari Mahathir kepada Anwar,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan.

Pada masa sama, Saifuddin mengingatkan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan tidak terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana untuk melagakan parti-parti di dalam PH, seperti mana yang pernah dilakukan terhadap PKR sebelum ini.

Beliau berkata, PKR dan PH akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihanraya Umum ke-15 lebih awal dari jangkaan 2023.

Pada 23 Jun lalu, Mahathir memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan partinya ekoran penolakan PKR terhadap cadangan mencalonkan Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Kebuntuan semakin memuncak apabila Mahathir pula mendedahkan bahawa cadangan menamakan Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal telah dipersetujui beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan lain.

Dalam siaran langsung di Facebook rasmi beliau, Mahathir berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan tidak rasmi pada 25 Jun lalu di Rumah Tamu Sabah, Kuala Lumpur melibatkan Shafie, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun Saifuddin pada semalam mengulas, kenyataan Mahathir bercanggah dengan DAP dan AMANAH yang menyebut bahawa mereka akan bawa ke mesyuarat parti masing-masing untuk dibincang dan dibuat keputusan.