Calon PH berpotensi walau ada masalah komunikasi, kata Muhyiddin

Calon PH berpotensi walau ada masalah komunikasi, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak lawan tidak boleh memperlekehkan kemampuan dan potensi yang ada pada calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Menurutnya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK Dun Semenyih Pakatan Harapan hari ini, pengalaman Aiman dalam politik akan bertambah dari semasa ke semasa walaupun pada masa ini mempunyai masalah komunikasi terutama ketika turun berkempen.

Beliau percaya anak muda berusia 30 tahun itu mampu menjadi wakil rakyat yang efektif pada masa akan datang.

“Saya akui (masalah komunikasi itu), tetapi sebagai anak muda baru, kalau masuk bertanding dia perlukan masa untuk sesuaikan dengan keadaan, kerana dia seorang yang bijak, berkelulusan, bertenaga, dan potensi untuk jadi wakil agak berkesan itu ada, bukan jangka sekarang tapi masa depan.

“Tetapi jangan jadikan itu satu gambaran seolah-olah he is not capable, tak mampu buat kerja…dan sudah tentu kita akan perbaiki prestasi, persembahan dia dengan cara agak semula jadi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Aiman sukar untuk berkomunikasi dengan pengundi di Dun Semenyih, terutamanya golongan pertengahan umur di kawasan tersebut.

Calon berkenaan juga tidak dapat memberikan maklum balas yang sesuai apabila ditanya media mengenai gerak kerja dan kempen beliau.

Selain itu, Aiman juga dilaporkan telah menolak jemputan badan bukan kerajaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk program debat bersama tiga calon lain yang bertanding pada kali ini.