Malaysia Dateline

Calon PH, BN selesai mengundi

Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini telah membuang undi pada jam 8.04 pagi tadi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Telok Kerang manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng menjadi pengundi pertama yang mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) C Yu Min 1 & 2, hari ini.

Karmaine diringi pengurusnya yang juga adik beliau, Safei Sardini.

Wee Jeck Seng selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) C Yu Min 1 & 2, hari ini.

Wee Jeck Seng yang tiba awal jam 7.40 pagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas itu, ditemani isterinya, Datin Seri Lim Joo Hon yang turut mengundi.

Wee turut beramah mesra dengan pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka di DUN itu.

Dalam pada itu, beliau berkata biarpun masih di awal pagi, kadar pengundi agak ramai.

“Awal lagi, tapi nampak ramai yang keluar. Saya pun pukul 5 pagi dah bangun,” katanya.

Wee turut meminta orang ramai untuk keluar mengundi awal bagi memastikan kelancaran proses mengundi hari ini.

Tinjauan Malaysia Dateline di pusat mengundi di Dewan SJKC Yu Min mendapati suasana tenang sejak ia dibuka dan para pengundi dilihat beratur menunggu giliran masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua orang calon Bebas selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung.

Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran dibuka untuk proses pengundian bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Mengikut senarai SPR, seramai 52,698 daripada 52,986 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Seramai 1,019 petugas pilihan raya terlibat dalam PRK P.165 Tanjung Piai yang merupakan PRK kali kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).