Calon PH dan BN bertemu di tapak kempen

Dr. Sulaiman Mad Nor (kanan) bersalaman dengan Datuk Ayub Rahmat (dua dari kiri).

Dalam kehangatan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kempen adalah suatu yang resmi bagi setiap calon dan jentera untuk mendekati hati pengundi.

Secara kebetulan, di Dun N4 Kemelah telah menyaksikan perkara yang harmoni berlaku apabila calon di Dun ini bertemu di tapak kempen yang sama di Pasar Malam Segamat Baru.

Penyandang Dun ini, Datuk Ayub Rahmat (Barisan Nasional (BN)) yang akan bertanding di P141 Parlimen Sekijang dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Sulaiman Mad Nor telah bermesra serta bertanya khabar antara satu sama lain.

Menurut Sulaiman yang merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor itu, ini adalah politik yang harmoni.

“Saya suka dengan keadaan ini kerana walaupun berbeza parti, silaturrahim antara sesama manusia tidak diputuskan.

“Berbeza dari segi ideologi bukan bermaksud bermusuh sehingga tidak bertegur sapa. Kita perlu hindarkan politik label melabel antara satu sama lain,” ujar beliau.

Dr. Sulaiman (berbaju merah) beramah mesra dengan jentera BN.

Sulaiman dalam pada masa sama tetap mempertahankan perjuangan beliau yang berunsur memenangkan rakyat.

“Penentangan akan terus diberikan dan saya menentang perkara seperti rasuah salah guna kuasa serta apa-apa perkara yang menidakkan rakyat.

“Kita akan jadikan (BN) sebagai parti pembangkang yang baik dan kita mahu rakyat merehatkan mereka dengan memberi peluang PH memerintah negeri ini,” ujar Dr. Sulaiman.

 

CATEGORIES