Malaysia Dateline

Mohd Anuar Tahir

Calon PH di Semenyih mampu penuhi suara hati pengundi, kata AMANAH

AMANAH menyatakan dokongan yang bulat dan teguh terhadap saudara Muhammad Aiman Zainali yang dicalonkan mewakili Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Mohd Tahir percaya pemilihan calon ini telah dibuat secara teliti dengan mengambil kira latar belakang pendidikan, kerjaya serta penglibatan dalam politik yang diyakini mampu memenuhi suara hati rakyat yang mahu melihat kesinambungan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang cekap, progresif dan berkebajikan.

 

Muhammad Aiman Zainali seorang jurutera diumumkan sebagai calon PH di PRK Semenyih 2 Mac ini

Namun begitu, katanya, AMANAH turut mengakui PRK ini bakal membawa cabaran sengit kepada Pakatan Harapan walaupun berdiri sebagai parti pemerintah kerana serangan fitnah dan tohmahan dari pembangkang yang cenderung menjaja propaganda dan memesongkan fakta.

Justeru, selesai pencalonan dari Pakatan Harapan, maka tugas bersama seluruh jentera komponen sekarang adalah mengerahkan sepenuh tenaga untuk memastikan DUN Semenyih terus kekal dikuasai.

Pakatan Harapan (PH) menampilkan anak muda berusia 30 tahun sebagai calonnya pada PRK Dun Semenyih, 2 Mac depan.

Bendahari Bersatu Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali yang merupakan seorang jurutera diumumkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, di Taman Pelangi

Muhammad Aiman yang juga menantu bekas Adun Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.