Calon PH Jasin berjaya tembusi kubu kuat Umno/BN

Calon PH Jasin berjaya tembusi kubu kuat Umno/BN

AMANAH yakin calonnya di kerusi Parlimen Jasin Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mampu melakukan kejutan pada pilihan raya umum (PRU) kali ini berdasarkan sambutan penduduk terhadap kempen calon tunggal parlimen parti itu di Melaka.

Pengerusi AMANAH Melaka Adly Zahari berkata, Khairuddin jelas popular di kalangan pengundi apabila kehadiran beliau di tempat-tempat awam mencuri tumpuan.

“Ke mana sahaja beliau pergi sama ada di pasar malam dan tempat-tempat awam, sambutan terhadapnya begitu memberangsangkan. Ramai yang mahu berselfie (berswafoto) dan bertanya khabar,” kata Adly.

Sambil menyifatkan pemilihan Khairuddin untuk bertanding di kawasan parlimen Jasin sebagai tepat, beliau berkata bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan itu berjaya menembusi kubu-kubu kuat Umno dan BN.

Khairuddin menghadapi pertandingan tiga penjuru di P139 Jasin menghadapi calon BN Datuk Seri Ahmad Hamzah dan calon Pas Abd Alim Shapie.

Mengulas lanjut, Adly berkata sambutan terhadap Khairuddin diukur dengan kejayaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan jentera pilihan raya di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dahulunya gagal ditembusi.

Antara PDM baru yang ditubuhkan, tambah beliau adalah Sempang (Dun Merlimau), Bukit Tembakau (Dun Serkam) dan Berangan Enam (Dun Serkam).

Kesemua PDM baru itu, katanya diterajui bekas pemimpin Umno tempatan.

Sehubungan itu, beliau yakin Jasin yang dahulunya tidak termasuk dalam kawasan parlimen berpotensi PH, kini setanding dengan kawasan parlimen Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah.