Calon PH Kepala Batas fokus kesihatan rakyat jika menang

Dr Zaidi bersama Rafizi Ramli dan para penyokong PH dalam siri kempennya.

Pakatan Harapan (PH) Kepala Batas berjanji akan memberikan tumpuan kepada kesihatan rakyat jika menang dalam PRU 14 ini sesuai dengan calonnya seorang doktor pakar.

Menurut calon PH Parlimen Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria menaikkan taraf Hosiptal Kepala Batas sebagai Hospital Pakar ketiga selepas Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya adalah antara usaha yang akan direalisasikan.

Jelas beliau lagi, mewujudkan Jabatan ataupun Disiplin baru di Hospital Pakar Kepala Batas tidak lama lagi.

“Selain dari itu kita juga akan berusaha bagi mewujudkan Pusat Perubatan Geriatric atau Pusat Perubatan dan Pemulihan Warga Emas.

“Perubatan Geriatric telah lama wujud di negara-negara maju, manakala Hospital Pakar Kepala Batas kelak akan menjadi perintis atau hospital pertama kerajaan yang mengadakan Perubatan Geriatric.

“Disamping itu kita juga akan mewujudkan Hospital Perubatan Wanita dan Kanak-Kanak Pulau Pinang @ Women and Children’s Hospital di Kepala Batas, ” ujarnya lagi.

Dr Zaidi … doktor pakar yang mahu memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Beliau juga berkata, ia turut akan ditingkatkan agar menjadi setaraf dengan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur ataupun Women and Children’s Hospital Kuala Lumpur (WCH KL).

Malah tegasnya lagi, buat ketika ini perkhidmatan perubatan di Hospital Pakar Seberang Jaya tidak mempunyai Paediatric Intensive Care Unit.

“Perkhidmatan tersebut setakat ini hanya terdapat di sebelah pulau iaitu di Hospital Pulau Pinang.

“Ini merupakan antara beberapa kekurangan yang masih terdapat di Kepala Batas dan harus dilaksanakan agar ia dapat membantu penduduk dan pengundi dalam kawasan ini bagi mendapatkan rawatan sedemikian.

“Dengan kemenangan tersebut kita optimis banyak lagi perubahan yang mampu dilakar bagi memanfaatkan penduduk dalam kawasan Parlimen Kepala Batas tidak lama lagi, ” tegasnya.

Lantaran itu katanya, adalah diharapkan pengundi dalam kawasan Parlimen Kepala Batas dapat membandingkan antara kemudahan sedia ada yang serta peluang yang mampu disediakan oleh PH bagi meningkatkan lagi mutu dan taraf kemudahan kesihatan yang jarang diberi keutamaan.

Beliau juga berkata, bagi Manifesto Bestari pula akan diwujudkan cawangan-cawangan universiti awam dan IPTA di Kepala Batas, khusus untuk Pengajian Fakulti Pengajian Islam.

“Mengembangkan SMKA Irshad dengan mewujudkan SMKA Irshad 2.

“Mewujudkan dan mempelopori Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan Agama @SK Irshad yang lebih Moden.

“Sekolah ini akan lebih praktikal, dinamik dan resonan dengan perkembangan ilmu agama dan dakwah semasa,” tambahnya lagi.

CATEGORIES
TAGS