Calon PH Rantau ‘buta’ perkauman, bukan cari kekayaan

Calon PH Rantau ‘buta’ perkauman, bukan cari kekayaan

Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berpendapat calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram adalah pilihan terbaik untuk rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menurut Speaker DUN Negeri Sembilan itu, pakar perubatan tersebut bukannya menceburi politik untuk mencari kekayaan.

“Streram calon terbaik. Dia pakar bius. Dia masuk politik bukan untuk cari kekayaan. Sebab dia sudah awal-awal bergaji besar.

“Dia bantu orang saja. Dia tak fikir kaum apa. Bahkan dia terlibat selamatkan orang di Afghanistan dan Sudan,” ujarnya dalam ceramah di kawasan Daerah Mengundi (DM) Kampung Bemban petang tadi.

Antara kain rentang kempen PRK Rantau yang mengetengahkan pencapaian PH Negeri Sembilan.

Membandingkan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR Rantau itu dengan dirinya, Zulkefly menganggap Streram jauh lebih baik.

“Saya pun tidak pergi (misi bantuan antarabangsa ke kancah negara dilanda perang). Dia lebih hebat daripada saya dan tuan-tuan semua.

“Saya pernah terlibat dengan NGO. Isu projek membina loji pelupusan sampah bernilai RM1.5 bilion di Broga, Selangor. Enam tahun 10 bulan baru kes menang.

“NGO ini buat kerja bagus, bantu rakyat. 222 program kita buat. Tian Chua, Ronnie Liu dan Elizabeth juga dulu sertai. Sebab itu siapa yang terlibat dalam NGO ini kebanyakannya baik,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkefly yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menegaskan sekali lagi sifat baik dimiliki
Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau tersebut.

“Macam Dr Streram dia orang baik. Apapun, dia mesti selamatkan pesakitnya.

“Rakyat kena fikir kalau nak lantik wakil rakyat mesti ada jiwa bantu orang lain bukan adik beradik. Dia (Streram) buta tentang perkauman,” tambahnya lagi.