Calon PH tiada, teriakan “Bossku” bergema

Calon PH tiada, teriakan “Bossku” bergema

Penantian pengumuman rasmi keputusan PRK Dun Semenyih dikejutkan seketika dengan teriakan “Bossku” sejurus Datuk Seri Najib Razak melangkah masuk ke Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang jam 9 malam tadi.

Kemunculan bekas Perdana Menteri yang juga mantan Pengerusi BN itu jelas mendapat tumpuan lensa media apabila dikerumuni kira-kira 100 pemberita dan jurugambar.

Najib kemudiannya mengambil tempat duduk. Selang 10 minit kemudian, dewan sekali lagi bergema dengan tepukan dan sorakan penyokong BN sejurus Najib bersalaman dengan Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jam 9.15 malam calon BN tiba dengan disambut sorakan penyokong parti pembangkang itu. Beberapa penyokong BN spontan menyebut, “dah boleh panggil YB (Yang Berhormat) dah”.

Terdahulu, calon Bebas, Kuan Chee Heng atau dikenali Uncle Kentang hadir.

Walau bagaimanapun, sehingga jam 9.20 malam ini, calon PH, Muhammad Aiman Zainali tidak hadir.