Malaysia Dateline

Calon pilihan raya tidak perlu jalani ujian kesihatan, kata Pengerusi SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berhasrat untuk meletakkan syarat perlu menjalani pemeriksaan kesihatan ke atas calon yang akan bertanding pada pilihan raya.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, pada masa ini, cadangan itu memerlukan pindaan dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Syarat supaya calon melakukan pemeriksaan kesihatan itu memerlukan pindaan Perlembagaan. Langkah itu tak perlu sebab perkara kematian tak boleh dijangka. Sihat pun boleh mati.

“Langkah itu tidak akan dilakukan,” katanya pada sidang media pilihan raya kecil (PRK) N.24 Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih di sini pada Jumaat.

PRK Dun Semenyih adalah pilihan raya keenam selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, meninggal dunia pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang, akibat serangan jantung.