Calon PKR buat laporan polis ke atas MP Pasir Salak

Calon PKR buat laporan polis ke atas MP Pasir Salak

Calon PKR bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mohamad Maharani Md Tasi hari ini membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (gambar)  atas dakwaan melakukan penyelewengan semasa menjadi pengerusi Felcra dari 2008 sehingga 2014.

Pesara kerajaan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau juga mendakwa bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga menggunakan wang Felcra semasa berkempen pada PRU13.

Dakwanya penyelewengan itu menyebabkan pihak Felcra gagal meningkatkan pembayaran dividen kepada peserta selain tiga kilang sawit Felcra juga dijual di bawah harga pasaran.

Sehubungan itu, Mohamad Maharani memohon pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Tajuddin.

Dalam PRU14 pada 9 Mei lepas, Mohamad Maharani kalah di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Manik kepada Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional. Zainol Fadzi kemudiannya keluar Umno dan menyertai Bersatu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut, namun ia dirujuk ke IPD Perak Tengah untuk tindakan lanjut lapor Bernama.

COMMENTS

Wordpress (0)