Calon PKR fail petisyen keputusan PRU di Cameron Highland

Calon PKR fail petisyen keputusan PRU di Cameron Highland

Calon PKR bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands M. Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan pilihan raya kawasan itu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivarraajh.

Managoran, 59, selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu menerusi Tetuan Kumar Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi semalam dengan menamakan Sivarraajh sebagai responden.

Manogaran memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Berdasarkan petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri Jelai yang kini Menteri Besar Pahang, telah memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon-calon lain dengan kawasan itu menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Manogaran juga mendakwa Wan Rosdy, yang merupakan Adun Jelai bagi tiga penggal berturut-turut sejak PRU Ke-11, amat terkenal di kalangan pengundi di kawasan itu.