Calon PKR Rantau fail petisyen pilihan raya

Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau Dr S Streram hari ini memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi untuk memohon pengisytiharan bahawa kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi itu tidak sah.

Dr Streram, 63, memfailkan petisyen itu melalui peguam bela dan peguam cara Sreekant a/l M G Gangadharan Pillai, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Sathia Stella Sidhu pada 3.00 petang.

Beliau menamakan Mohamad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau sebagai responden ke-2 dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ke-3.

Pada hari penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 28 April lepas, Mohamad yang merupakan calon Barisan Nasional bagi kerusi DUN Rantau diisytiharkan menang tanpa bertanding oleh Amino Agos.

Ini berikutan Dr Streram, tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa pas calon seperti yang disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.

CATEGORIES