Malaysia Dateline

Calon PKR Sarawak terkejut digugurkan tanpa alasan kukuh

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nor Dahlia Esapian Eyaw telah digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tanpa sebarang alasan kukuh.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Petra Jaya jelas terkejut dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi PKR Sarawak menggantikan dirinya dengan Datuk Dr. Nor Irwan Ahmad Nor sebagai calon DUN Satok.

“Pada 3 Disember 2021, PKR mengumumkan senarai 27 calon, termasuklah diri saya untuk kerusi DUN Satok menerusi sidang media.

“Saya juga telah diarahkan untuk menghadirkan diri bersama pencadang dan penyokong ke Pejabat PKR Sarawak bagi tujuan pengisian, semakan dan kemas kini borang calon serta dokumentasi melibatkan proses pencalonan.

“Namun, sehingga pagi hari penamaan calon pada 6 Disember 2021, saya tidak menerima apa-apa pemakluman notis atau surat rasmi secara bertulis mahupun secara lisan dengan jelas berkaitan pengguguran saya sebagai calon,” katanya di Kuching hari ini.

Malah, Nor Dahlia menjelaskan ketidakhadirannya pada hari penamaan calon adalah disebabkan tidak diberikan Watikah Pelantikan Calon.

“Saya seorang yang bersih, merdeka dan bebas daripada apa-apa jua sabitan jenayah dan kebankrapan yang menjadi syarat asas utama sebagai calon dalam pilihan raya seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

“Saya tidak dibeli dan tidak terkait dengan apa-apa jua masalah dan isu dengan pihak agensi termasuklah insolvensi, mahkamah, PDRM mahupun Lembaga Hasil Dalam Negeri,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akan terdapat undi protes daripada jentera pasukan memandangkan rasa tidak puas hati turut dalam kalangan mereka.

“Saya telah bergerak bersama jentera pasukan saya khususnya di kawasan Satok dan Petra Jaya dan tidak dinafikan saya bersama jentera pasukan berasa amat terkilan dengan cara pengurusan parti atas perkara ini.

“Dan saya tidak akan turun padang membantu calon Satok, Datuk Dr. Nor Irwan Ahmad Nor sepanjang tempoh berkempen,” tegas beliau.