Malaysia Dateline

Calon PM: 16 kepimpinan muda DAP pusat, bahagian serah keputusan kepada parti dan PH

Kepimpinan muda dalam DAP hari ini mengambil kesepakatan menyokong sebarang keputusan DAP dan Pakatan Harapan dalam menamakan calon Perdana Menteri.

Kenyataan bersama yang diwakili 16 pemuda DAP di peringkat pusat dan negeri itu turut berkata, dalam menamakan calon Perdana Menteri asalkan ia melalui proses perbincangan yang cukup matang dan masak dengan meletakkan agenda reformasi serta membela nasib rakyat dihadapan, mereka akan akur dan akan berkerja ke arah menjayakannya.

” Kami generasi muda dalam DAP mengambil maklum keruncingan yang sedang berlaku dalam isu calon Perdana Menteri.

“Berita tentang Tun Mahathir Mohamad yang besar kemungkinan dinamakan sebagai calon PM dari Pakatan Harapan telah mengundang pelbagai pandangan serta kritikan baik dari aktivis politik, NGO, anak muda mahupun rakyat terbanyak. Disamping meraikan pelbagai pendapat, kita harus segera sedar bahawa masa tidak menyebelahi kita.

“Justeru itu, kami generasi muda dalam DAP ingin menzahirkan sikap serta pendirian kami untuk memberikan kepercayaan serta menyokong sepenuhnya apa juga keputusan pucuk pimpinan tertinggi DAP dan Pakatan Harapan,” ujarnya kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat susulan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam tidak memutuskan secara rasmi siapakah calon perdana menteri.

Sebaliknya Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir dalam sidang medianya memaklumkan ia akan diumumkan pada Konvensyen Pakatan Harapan yang akan diadakan di Shah Alam, Ahad ini.

Justeru Pemuda DAP menyeru para pemimpin Pakatan Harapan, aktivis politik, NGO serta seluruh rakyat yang inginkan perubahan agar memberikan fokus terhadap usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN) berbanding isu calon perdana menteri.

“Selain itu, perbincangan lebih konstruktif berkaitan isu-isu polisi serta kerangka tawaran yang lebih ampuh oleh PH bagi mendepani kebejatan ekonomi yang dilakukan BN seharusnya diberikan keutamaan.

“Kami juga berpendapat perbincangan yang meleret-leret terhadap isu calon Perdana Menteri pada tahap ini adalah bersifat ‘melebihi dari yang perlu’.

“Ia telah mengalih tumpuan rakyat dari isu sebenar untuk menolak salahguna kuasa serta rasuah dilakukan oleh Perdana Menteri Najib serta BN.

“Generasi muda DAP menyeru agar semua pihak memfokuskan semula kompas perjuangan dan menjunjung harapan rakyat yang mahu melihat Malaysia diselamatkan segera.

“Pada masa yang sama, kita perlu sedar bahawa muafakat Pakatan Harapan sebagai alat kepada rakyat untuk menumbangkan rejim BN menerusi pilihan raya ke-14 ini mestilah diperkukuhkan,” ujar kenyataan itu.

Pemuda DAP Pusat terdiri daripada: Young Syefura Othman;Muhammad Shakir Ameer;Dyana Sofya;Syerleena Abdul Rashid;Raja Ahmad Iskandar Fareez dan;Shukri Mokhtar.

Manakala Pemuda DAP peringkat negeri dan bahagian terdiri daripada: Sheikh Omar Sheikh Ali;Mahdzir Ibrahim; Mugheelan Sellathoray;Lim Yi Wei;Ahmad Irfan bin Hani;Farhan Haziq bin Mohamed;Dr Kelvin Yii; Edry Faizal dan; Keristinah Philip.