Calon PM ditentukan selepas PH menang PRU14, kata Tun Mahathir

Calon PM ditentukan selepas PH menang PRU14, kata Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir ketika berucap pada siri Jelajah Semarak yang diadakan malam tadi.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan calon Perdana Menteri hanya boleh ditentukan sekiranya Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14, walaupun dalam Kongres PKR pada Ahad lalu mengangkat plakad “Anwar PM ke-7”.

Namun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata,  hasrat PKR itu akan terkubur sekiranya Pakatan Harapan gagal menumbangkan Umno-BN.

“Dia (Anwar) salah seorang calon… dia belum tentu lagi.

“Kalau tak menang, siapapun tidak boleh jadi perdana menteri. Apa yang utama kita menang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ditanya lagi, walaupun jika hanya  mencadangkan seorang perdana menteri interim, bekas presiden Umno itu hanya menganggukkan kepala.

Ini kerana perdana menteri interim dicadangkan bagi menyakinkan rakyat dalam menghadapi pilihan raya akan datang  kerana Anwar sedang dipenjarakan.

Beliau diminta pandangan ketika berjalan  menuju ke kenderaannya selepas menghadiri siri ceramah Semarak bagi peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan di padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru malam tadi, yang turut dihadiri Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ditanya berkaitan kajiselidik yang diumumkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli semalam, yang dilakukan Invoke Malaysia, Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan tidak wajar “syok sendiri.”

“Bila menang boleh buatlah, kalau belum menang nak bubuh nama sendiri itu syok sendiri,” ujarnya.

Semalam Rafizi mendedahkan dapatan kajiselidik Invoke Malaysia menunjukkan Anwar mendapat sokongan paling banyak, iaitu 23.5%, diikuti Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan undian 17.6%.

Manakala Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pilihan ke-3 popular (16.5%) diikuti Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin (12.6%).

Kaji selidik yang diumumkan Rafizi itu menyenaraikan 9 pemimpin pembangkang, termasuk dirinya, mewakili PKR, Bersatu dan Pas, manakala tidak ada pemimpin dari Amanah mahupun DAP yang merupakan sebahagian Pakatan Harapan.

Daripada 17,962 responden kira-kira satu pertiga (31%) daripada mereka yang disoal mahu mengekalkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri, manakala 34.6% membuat pelbagai pilihan daripada pemimpin pembangkang.

COMMENTS

Wordpress (0)