Malaysia Dateline

Calon PM: ‘Saya tidak menentang keputusan Pakatan Harapan’

Ketua Wanita Pakatan Harapan Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa sedih dan kecewa apabila kenyataannya mengenai siapa calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) menjadi kontroversi.

Beliau menjelaskan, secara peribadi berasa kecewa dan sedih kerana menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Namun ujarnya, keputusan itu tidak menghalang beliau untuk bekerja kuat memastikan kemenangan dalam Pakatan Harapan.

“Itu kenyataan saya.

“Banyak kontroversi seolah-olah saya menentang keputusan kepimpinan, saya tidak menentang, saya sedih dan kecewa.

“Saya memikirkan PH satu gabungan progresif dan saya rasakan orang muda bagus diletakkan di situ dalam jangka panjang.

“Bukan isu saya tak suka Tun M. Siapa yang rapat dengan saya tahu cara saya. Ketika Mahathir berada di bawah Barisan Nasional kita berkempen, saya tidak pernah memaki hamun Mahathir.

“Bahkan saya marah pada kawan-kawan yang berceramah jika ada yang kata Mahathir maha firaun atau maha zalim.

“Bukan peribadi saya untuk menghentam seseorang individu itu kerana itu (apa dilakukan) antara dia dan allah,” ujarnya ketika berucap dalam majlis Penyampaian Amanat Ketua Cabang dan Pelancaran Parlimen Ampang di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya malam tadi.

Zuraida Kamaruddin bersama barisan kepimpinan cabang Parlimen Ampang ketika menyanyikan lagu parti selepas selesai majlis Penyampaian Amanat Ketua Cabang dan Pelancaran P99 Ampang malam tadi.

Menurut Zuraida lagi, sebagai satu gabungan yang baharu PH perlu lebih progrresif dan ke hadapan dalam menyuarakan pandangan agar gabungan itu, ujarnya, dilihat jauh lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya juga nak bagi mesej, sebagai satu gabungan baharu PH saya nak ia dilihat progresif dan ke hadapan dalam menyuarakan pandangan.

“Jika ada separuh atau lebih kurang untuk satu pertiga ahli PKR dan reformis yang sama-sama ada pendirian seperti saya.

“Ini dinamakan tarikan ‘reverse’ jika saya tidak menyatakan pendirian mereka yang tidak setuju mana mungkin mereka akan memberi undi kepada kita.

“Jika mereka memikirkan bahawa gabungan ini (PH) gabungan gobrok di atasnya,ini menunjukkan ada orang tidak mahu apabila kita ke Putrajaya kita seperti BN kerana kita tidak mahu menegur kepimpinan di peringkat atasan,” ujarnya lagi.

Ahli Parlimen dua penggal ini yang akan mempertahankan kerusi P99 Ampang pada PRU14, turut berkata,PKR sebagai gabungan sebuah parti ‘harapan kepada rakyat’, amat perlu membawa aspirasi rakyat dengan berani menegur kepimpinan.

“Kita mesti berani menegur kepimpinan.Kita tidak mahu seperti 60 tahun Malaysia diperintah bila keluar dari kerajaan baru berani nak kutuk perdana menteri, baru berani nak kutuk menteri dan baru berani nak kutuk pegawai kerajaan,

“Kita akan bermula dengan PKR Ampang untuk menegur perdana menteri dan menteri-menteri PH, siapa sahaja yang tidak mengikut aspirasi rakyat, kita akan tegur mereka.

“Supaya mereka buat yang betul jangan sampai berleluasa sehingga terlanjur dan tidak dapat dibetulkan.

“Kita (PH) parti gabungan yang progresif perlu ada ‘political will’ untuk tampil menyegarkan politik tanahair,” terangnya di hadapan lebih kurang 200 Ketua Cabang dan ahli PKR Ampang.

Justeru katanya, kini matlamat penting untuk menang pilihan raya.

Malah Zuraida turut berkata, beliau tidak ada keperluan untuk memberi penjelasan kepada Dr Mahathir kerana berpandangan bekas perdana menteri itu kini sudah demokratik boleh menerima kritikan.

“Kita buat politikal baharu yang mana pemimpin boleh menerima kritikan dan penyokong boleh mengkritik,” ujarnya lagi dalam amalan berorganisasi beliau akan patuh kepada keputusan dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan mengenai siapa calon perdana menteri.

Dalam konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari lalu, telah mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.