Malaysia Dateline

Calon PM: Tunggu Parlimen bubar, usah terburu-buru, beri masa dengar suara rakyat

Bekas Senator Syed Husin Ali hari ini, membidas pihak tertentu yang menjadikan isu siapa bakal “Perdana Menteri”lebih utama berbanding membentuk perpaduan serta kekuatan Pakatan Harapan (PH) untuk menegakkan keadilan bagi rakyat dan kemajuan negara.

Beliau yang juga ahli Biro Politik PKR itu berkata, kini seolah-olah persoalan untuk menamakan calon Perdana Menteri begitu luas pengaruhnya daripada PH.

“Saya merasa hairan kenapa isu menentukan dengan segera nama calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan sudah menjadi begitu besar sekali. Kenapa perlu terburu-buru memutuskannya?

“Sekarang ini kelihatan seolah-olah soal manamakan nama calon PM paling penting sekali. Lebih buruk lagi sudah timbul pula anggapan semacam isu ini didorongkan oleh agenda peribadi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Syed Hussin berkata, seharus sebagai sebuah parti gabungan dalam PH perlu mengingati bahawa matlamat utama membentuk PH ialah menjana perpaduan serta kekuatan demi menegakkan keadilan bagi rakyat dan kemajuan bagi negara.

“Untuk mencapai hasrat ini perlulah diperjuangkan perubahan besar atau reformasi segala sistem dan institusi yang bobrok agar dapat ditegakkan yang lebih adil dan saksama.

“Nyata sekali matlamat perjuangan PH itu besar, jauh lebih besar daripada soal menentukan PM.

“Berhentilah membesar-besarkan isu PM ini. Tidak usah terburu-buru hendak memutuskannya.

“Berilah masa yang cukup untuk mendengar suara rakyat seluasnya, sehingga pengumuman pembubaran Parlimen ditentukan,” tegasnya.

Heboh mengenai siapa yang bakal menjadi PM ke tujuh sekiranya PH menang pilihan raya ke-14 mula dibincangkan ramai pihak sejak cadangan itu diketengahkan oleh perwakilan dalam  Kongres Nasional Tahun ke-2 PKR di Shah Alam pada Mei lalu.

Sebaik selepas Amanat Ketua Umum dibacakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebahagian besar perwakilan yang hadir pada kongres berkenaan berdiri dan mengangkat plakad bertulis ‘Anwar PM ke 7’.

Malah, hasrat menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri jelas didengari ketika ucapan dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad pada Kongres pergerakan itu.

Umum mengetahui ketika Kongres Nasional Tahunan PKR Ke-12 perwakilan parti itu sebulat suara mengangkat plakad seragam yang bertulis ‘Anwar PM Ke-7’ semasa akhir program tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Tun  Dr Mahathir Mohamad  tidak berbuat demikian walaupun beliau turut menerima plakad berkenaan untuk diangkat bersama-sama kepimpinan PKR di atas pentas.

Dr Mahathir berpendapat terpulang kepada rakyat sama ada mahu melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketujuh atau sebaliknya.

Bagaimanpun perdebatan masih berterusan itu membawa kepada kenyataan Dr Mahathir pada September lalu, menerusi temubual dengan MalaysiaInsight, yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Dr Mahathir dipetik berkata, Anwar hanya menjadi perdana menteri ke-8.

Jawapan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH itu nyata berbeza dengan sokongan terbuka beliau sebelum ini menyatakan Ketua Umum PH tersebut bakal dilantik sebagai perdana menteri ketujuh jika blok pembangkang berkenaan ‘menawan’ Putrajaya.

Sehingga kini Majlis Presiden Pakatan Harapan masih belum memuktamadkan siapa bakal PM sekiranya PH menang pilihan raya umum akan datang.