Malaysia Dateline

Calon PRK Dun Rantau: Rafizi tidak berminat

Rafizi Ramli memberitahu tidak berminat untuk terlibat dalam jawatan politik untuk beberapa tahun ini.

Beliau berkata demikian menerusi laman Twitter hari ini dengan menyatakan khas kepada media dan peminat politik yang bertanyakan kemungkinan beliau bertanding di PRK Dun Rantau.

“Saya tidak berminat untuk jawatan politik/awam untuk beberapa tahun ini.

“Saya gembira membina syarikat sendiri dalam bidang data analytics + AI,” ujarnya.

Bahkan, pengasas Invoke tersebut berkata beliau sangat gembira dengan kehidupan peribadinya sekarang.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu pemberita bahawa Rafizi adalah antara calon yang dicadangkan oleh PKR untuk bertanding dalam PRK Dun Rantau.

Walau bagaimanapun, Anwar pada sidang media sempena Kongres Nasional PKR ke-13 di Ideal Convention Center Sdn Bhd (IDCC), Shah Alam, di Shah Alam pada 17 November lalu berkata, Rafizi lebih layak bertanding di kerusi lebih tinggi daripada kerusi Dun.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau Mei lepas, tidak sah dan terbatal, selepas hakim membenarkan petisyen difailkan bekas calon PKR, Dr Streram Sinnasamy.

Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu pada hari pencalonan 28 April lalu, selepas satu-satu pencabar beliau, Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas masuk yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pakar bius itu kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei bagi memohon satu PRK diadakan di kerusi terbabit kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.

Hakim Datuk Azimah Omar menerima petisyen yang difailkan Streram untuk membatalkan keputusan pilihan raya kerusi berkenaan.

Azimah berkata, Mohamad tidak dipilih secara sah, dan kerusi tersebut akan ditandingi sekiranya Streram dibenarkan memfailkan kertas pencalonannya pada 28 April lepas, sekali gus membuka jalan kepada PRK diadakan di situ.