Calon PRK Dun Semenyih seharusnya sedia berdebat, kata Pemuda AMANAH Jerai

Calon PRK Dun Semenyih seharusnya sedia berdebat, kata Pemuda AMANAH Jerai

Debat yang dicadangkan menjelang pilihan raya kecil Dun Semenyih adalah suatu tindakan yang sihat dan sepatutnya disahut oleh calon-calon yang bertanding.

Ia bukannya untuk menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk berkongsi idea, visi dan misi calon masing-masing.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH kawasan Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad ketika ditemui pada Ahad.

Mohd Ridzwan Arshad

Jelasnya lagi, melalui debat yang diadakan rakyat atau pengundi dapat membuat penilaian mengenai proposal yang akan dicadangkan oleh calon yang bertanding.

Malah katanya, dengan adanya debat tersebut, ia turut memberi peluang kepada pengundi untuk membuat justifikasi mengenai setiap calon yang akan diberi undi.

“Seharusnya semua calon menyahut cabaran debat yang dicadangkan samada oleh Bersih atau pun lain-lain pertubuhan.

“Ia merupakan satu budaya yang seharusnya dipupuk dan menjadi ‘trend’ dalam setiap pilihan raya kecil maupun pilihan raya umum.

“Dengan cara itu juga pengundi khususnya dapat melihat kemampuan dan kriteria yang ada pada setiap calon yang akan mewakili kawasan yang ditandingi, ” ujarnya.

Beliau diminta mengulas penganjuran debat oleh Bersih 2.0 yang sepatutnya diadakan hari ini, (25 Februari) dibatalkan kerana calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak mahu hadir ke debat tersebut.

Bagaimanapun bagi calon PSM dan bebas masing-masing menyatakan pendirian bersedia untuk berdebat.

Kata Ridzwan lagi, pengundi dan rakyat sudah pasti ingin tahu apakah visi dan misi pembangkang sekiranya mereka mendapat mandat. Manakala calon kerajaan yang memerintah sudah pasti akan mengemukakan polisi dan dasar yang sedang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedia ada.

“Debat merupakan sesuatu yang sihat dan perlu dipraktikkan dalam amalan demokrasi negara kini.

“Buktikan bahawa keterbukaan yang ada dibawah pemerintahan PH amat jauh bezanya dengan apa yang telah dilaksanakan semasa zaman pemerintahan BN dahulu.

“Melalui debat yang diadakan ia menjadi pemangkin untuk menzahirkan buah fikiran dan kematangan berfikir seseorang calon untuk dinilai sebelum mandat diberi, ” tegasnya lagi.