Calon PRK: Ikut suara hati pengundi bukan suara hati ahli Umno

Calon PRK: Ikut suara hati pengundi bukan suara hati ahli Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan memberi petunjuk sejauh mana pengundi menyokong Umno-BN terhadap krisis dalaman parti itu terhadap kepimpinan Presiden.

Umno dan BN perlu menjadikan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini sebagai kayu ukur tahap keyakinan pengundi terhadap pemimpin dan parti.

” Kedua-dua kawasan Parlimen ini menjadi kayu ukur sebelum PRU14 jika kita menang besar itu menunjukkan krisis dalam parti bukan isu besar kepada keyakinan pengundi untuk terus menyokong Umno-BN.

“Sebaliknya jika undi kita merosot itu merupakan satu perkara yang agak tidak sedap untuk kita alami. Kalau boleh kita mahu kemenangan lebih besar kali ini berbanding jumlah undi yang diperoleh pada PRU14 lalu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Umno ke-70 di PWTC malam tadi.

Adnan tidak menafikan menang tipis Umno pada PRU13 lalu di dua parlimen berkenaan harus dipandang serius oleh jentera Umno-BN.

“Setiap pemimpin ada krisis apa yang penting akhiran daripada krisis itu akan ada penyelesaiannya.

“Semua pihak perlu memberi sokongan kuat supaya Presiden dapat selesaikan semua krisis membabitkan kepimpinan dan parti bagi memastikan Umno akan terus bertahan sama ada di PRK dalam masa terdekat ini mahupun dalam PRU14 kelak,” ujarnya.

Beliau menegaskan Umno dikatakan menghadapi “krisis” yang sengaja di timbulkan ahli Umno yang tidak sependapat dengan Presiden dan dicemuh oleh parti pembangkang kononnya dengan krisis kepimpinan dan penolakan ahli Umno terhadap Presiden akan menyebabkan Umno tumbang dalam PRK dan PRU14.

“Kita dah buktikan BN menang di Sarawak. Yang penting dalam Umno-BN adalah bersatu padu satu hal, menyokong dan taat setia kepada presiden dan parti satu hal lagi yang perlu diambil kira.

“Hanya mereka yang mampu mengatasi krisis secara individu dan parti secara bersama akan mampu mengatasi semua krisis untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara. Jika kita ikhlas semua berjalan lancar.

“Jika ada niat lain atau motif yang lain parti akan jadi lemah.” ujarnya.

Adnan juga berkata, calon-calon yang akan bertanding kelak mestilah dikalangan yang boleh diterima oleh pengundi setempat.

“Calon terbaik adalah dikalangan yang boleh diterima oleh pengundi di kawasan. Kita mesti ikut suara hati pengundi bukan ikut suara hati pemimpin dan ahli Umno, suara ahli Umno hanya sebahagian kecil daripada pengundi,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang, berkata, Umno negeri sudah pun bersiap siaga untuk menghantar jentera parti untuk memberikan sokongan terhadap calon Umno di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala  Allahyarham Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menewaskan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, Bebas dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia hari ini, telah menetapkan tarikh PRK bagi Parlimen Kuala Kangsardan Sungai Besar,dijalankan serentak pada 18 Jun depan. Tarikh penamaan calon pada 5 Jun dan pengundian awal ditetapkan pada 14 Jun.

TAGS