Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata beliau sudah mempunyai senarai nama calon yang difikirkan berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis yang akan ditentukan kelak selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei awal minggu ini.
Amirudin berkata sebagai menteri besar, beliau mempunyai keistimewaan untuk menamakan calon sesuai bagi PRK itu kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ia diangkat ke peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan.
“Dalam kepala saya ada (senarai calon)…cuma perlu sampaikan kepada pucuk pimpinan PKR,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Manandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dengan empat buah institusi yang disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah semalam lapor Bernama.
Amirudin bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon dan bila nama itu akan dihantar ke pucuk pimpinan parti.
Mat Shuhaimi, 50, yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi Isnin lepas akibat kanser limfoma.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DunSungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.