Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Calon Semenyih perlu ikut kaedah di Cameron Highlands, kata Presiden Pas

Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Mac diharap akan menggunakan kaedah yang sama seperti di Cameron Highlands, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, BN yang telah diberi tanggungjawab itu juga disaran mempertaruhkan calon yang mempunyai ketokohan sendiri dan mestilah anak tempatan kerana diyakini dua faktor itu mampu memberi kemenangan kepada BN dalam PRK tersebut.

“Pemilihan calon untuk PRK Semenyih belum ditentukan lagi setakat ini, dan perkara itu kita serahkan kepada BN untuk menentukan calon mereka. Ciri-ciri calon yang akan diketengahkan mestilah mengambil kira kemenangan BN di PRK Cameron Highlands iaitu mengambil kira ketokohan dan mestilah anak tempatan.

“Pemilihan Ramli Mohd Nor di PRK Cameron Highlands itu dipersetujui bersama (Pas dan BN)….beliau bukanlah seorang pemimpin Umno, tetapi beliau bekas pegawai polis yang tidak terlibat dengan politik dan mewakili umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Sekolah Rendah Islam Darul Quran yang turut dihadiri Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Jalan Batangan semalam.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung dan dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.

PRK Semenyih adalah PRK keempat diadakan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14. Sebelum ini, tiga PRK iaitu di DunSungai Kandis, Seri Setia dan Balakong telahpun negeri itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan BN di Cameron Highlands, Abdul Hadi mengakui kerjasama PAS dan BN adalah sebahagian faktor kemenangan itu.

“Ia adalah faktor kerjasama tanpa mengira parti politik dan menolak calon yang tidak sinonim dengan penduduk di kawasan itu,” katanya.