Malaysia Dateline

Calon tunggal AMANAH siap catat sejarah dalam politik Sabah

Calon tunggal AMANAH dalam pilihan raya negeri Sabah, Rosdy Wasli, nampaknya berpotensi besar menang apabila kerusi Tanjung Keramat diberikan kepada beliau untuk ditandingi.

Ini kerana, kedudukan kerusi ini adalah sangat strategik dan mempunyai jentera penyokong kerajaan negeri Warisan yang kuat, kata para petugas AMANAH yang datang ke Sabah.

“Walaupun bertanding hanya satu kerusi, insya Allah kita akan menang kerusi ini,” kata salah seorang petugas Media Oren, badan yang kini menjadi antara tunggak utama kempen Warisan Plus di Sabah.

“Menang dalam tangan kecuali ada faktor-faktor luar biasa sahaja,” kata beliau lagi ketika cuba membayangkan apa peluang calon AMANAH, Rosdy Wasly di Tanjung Keramat.

BOLASEPAK

Rosdy, AJK Persatuan Bolasepak Sabah sangat rapat dengan anak muda terutama peminat bolasepak.

Dengan latar belakang Rosdy yang sangat aktif dalam sukan bolasepak, beliau dilihat sangat mudah bergaul dengan masyarakat setempat.

Rosdy adalah Ahli Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Negeri Sabah.

Atas dasar itulah, kemana beliau pergi, anak muda adalah tumpuan utama beliau.

Di kalangan masyarakat setempat, Rosdy juga sangat disenangi oleh mereka.

Rosdy, bekas pelajar UiTM ini juga sangat disenangi di kalangan wakil Ketua Anak-anak Negeri (WKAN) yang sedia makan dan beramah mesra dengan beliau.

Sebelum menjadi calon, Rosdy, 45, adalah bekas pegawai Insolvensi cawangan Sandakan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri yakin, Warisan Plus akan menang di PRN kali ini.

“Bukan sahaja menang, kita yakin akan menang dengan bergaya,” kata beliau ketika berucap pada majlis ramah mesra dengan pemimpin akar umbi dan kepada jentera dan penyokong Warisan Plus di Tanjung Keramat.

Salahuddin juga berharap rakyat Sabah memberikan kemenangan kepada Warisan untuk memberikan isyarat mereka menolak politik pelacuran.

“PRN ini bukan untuk orang Sabah sahaja tetapi berjasa kepada seluruh negara bagi menentukan nilai sebenar demokrasi,” kata Salahuddin.

Pengkaji politik Ilham Centre mendapati imej Shafie Apdal sangat kuat dan melatar di kalangan rakyat Sabah.

Jentera Warisan juga amat kuat di Sabah dan mereka tidak sahaja bekerja untuk parti Warisan tetapi juga untuk semua termasuk calon PKR yang bertanding atas lambang sendiri, kata seorang pengkaji Ilham.