Malaysia Dateline

Calon wakil rakyat perlu memahami tanggungjawab mereka

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menyifatkan seseorang calon wakil rakyat mesti memahami tanggungjawab mereka sebagai wakil kepada masyarakat.

Ini kerana dakwanya, terdapat calon-calon yang tidak diberikan kursus berkaitan tanggungjawab mereka sebagai seorang calon wakil rakyat.

“Saya percaya ada calon-calon ini sebenarnya tidak tahu pun apa tanggungjawab mereka sebagai calon, tidak diberi kursus sebelum itu.

“Adakah dia bersedia dengan tanggungjawab sebagai calon untuk mewakili rakyat? Oleh sebab itu, mereka mengambil mudah apabila ada sedikit tawaran dan ada sedikit ugutan (cara halus).

“Contohnya, kalau kamu jadi Adun daripada pembangkang, kamu tidak akan dapat peruntukan.

“Disebabkan perkara inilah, mereka sudah merasa susah menjadi calon daripada pembangkang untuk melaksanakan khidmat kepada masyarakat. Ketahanan mereka tidak cukup kuat untuk menghadapi cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi FB Live AMANAH Negeri Kedah, semalam yang bertajuk ‘Bicara YB Mandat Rakyat.

Turut serta dalam FB Live itu ialah, Adun Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan moderator Datuk Dr Ismail Salleh yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah.

Justeru, Phahrolrazi mengingatkan barisan kepimpinan parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), supaya turut melihat daripada aspek lain mengenai pemilihan calon wakil rakyat.

“Apabila kita membuat pemilihan, calon-calon untuk masa hadapan bukan sahaja dilhat daripada segi kelulusan, tetapi mereka hendaklah dilatih dan didedahkan tentang proses sebenar menjadi wakil rakyat.

“Apabila sudah terbukti, barulah mereka layak menjadi calon. Untuk masa hadapan, tidak boleh berulang lagi calon-calon yang kita pilih ini boleh meninggalkan kita (melompat parti).

“Selain daripada kaedah kefahaman, mungkin juga boleh diwujudkan kaedah tertentu yang menyebabkan mereka tidak boleh untuk meninggalkan PH atau parti atas alasan-alasan yang tidak cukup kuat atau tidak cukup munasabah,” katanya lagi.