Calon wanita Dun Rantau sesuai dengan adat perpatih, kata Zuraida

Calon wanita Dun Rantau sesuai dengan adat perpatih, kata Zuraida

Naib Presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin mahu calon wanita diketengahkan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau yang bakal diadakan.

Beliau, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata calon wanita di kerusi Dun  Rantau adalah sesuai memandangkan Negeri Sembilan sebuah negeri yang mengamalkan Adat Perpatih yang mengutamakan kaum wanita.

“Sudah  berapa pilihan raya kecil  tidak ada pun orang perempuan, jadi kali ini (Dun Rantau) saya minta orang (calon) perempuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Jasamu Dikenang kementeriannya di sini hari ini.

Zuraida berkata beliau mempunyai “dua tiga nama” calon wanita yang berkaliber dan mampu menggalas tugas sebagai wakil rakyat untuk diketengahkan sebagai calon Dun un Rantau.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum hari ini menolak rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau sebagai terbatal. Keputusan itu sekali gus membuka laluan bagi PRK bagi Dun Rantau.

Mohamad memenangi kerusi berkenaan tanpa bertanding selepas pencalonan wakil PKR Dr S. Streram ditolak.

Zuraida berkata calon PKR bagi Dun Rantau haruslah ‘service oriented’, mempunyai naluri untuk berkhidmat kepada rakyat serta mudah didekati selain anak Negeri Sembilan. – BERNAMA