Malaysia Dateline

Calon wanita parti Palang Pracharat mahu rampas kerusi Narathiwat

Dengan slogan “tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia”, calon wanita Palang Pracharat bagi kerusi Parlimen kawasan 3 Wilayah Narathiwat, Tasneem Chettu mahu merampas kerusi kubu kuat Parti Demokrat  menjelang Pilihan Raya Umum Thailand.

Wanita berusia 46 tahun yang pernah bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan itu tidak gentar berdepan saingan sengit dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 24 Mac ini apabila bertemu calon dari parti Ruam Palang Prachat Thai dan Parti Prachachat yang mempunyai ramai penyokong di wilayah itu.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu ketika turun padang bertemu para pengundi dan menghadiri ceramah telah mencuri tumpuan dalam kalangan penduduk tempatan dalam kempen pilihan raya.

“Kaum ibu harus memilih saya kerana parti Palang Pracharat akan memberi keutamaan kepada ibu-ibu hamil dan anak-anak sehingga mereka berusia lapan tahun,” katanya  yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Rachapat Universiti Yala.

Berkelulusan  berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  dan Ijazah Sarjana dalam bidang pendidikan, Tasneem mahu menggunakan kepakaran beliau terus membantu penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam.

“Saya akan mengguna sifat seorang wanita untuk menawan hati dan jiwa pengundi, termasuk  kaum bapak (lelaki),” katanya.

Beliau yakin polisi yang dibawa Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, calon Perdana Menteri  Palang Pracharat akan memikat pengundi di wilayah bergolak itu.

Pada pilihan raya umum kali ini, di Selatan Thailand  yang majoriti penduduknya beragama Islam, terdapat 11 kerusi parlimen iaitu empat masing-masing di  Narathiwat dan Pattani  dan tiga lagi di Yala.

Di Narathiwat, seramai 143 calon dari 43 parti akan bertanding di empat kerusi parlimen manakala di Pattani, terdapat 139 calon dari 40 parti akan merebut empat kerusi dan di Yala pula terdapat 103 calon dari 37 parti merebut tiga kerusi.

Ini merupakan pilihan raya umum pertama selepas rampasan kuasa tentera sejak 2014.

Dalam undang-undang pilihan raya baharu Thailand, mana-mana individu dibenarkan menubuh parti politik dan bertanding dalam piliharaya umum pada kali ini. Lebih seratus parti yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.- BERNAMA