Malaysia Dateline

Calon Warisan perlu menang bukti rakyat masih beri sokongan pada PH

Kemenangan calon Warisan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis kali ini mesti menjadi realiti untuk membuktikan sokongan rakyat masih lagi berpihak pada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu, Abdullah Mohd Nor berkata, kekalahan PH dalam empat PRK yang lalu harus menjadi iktibar dan tidak harus dipandang enteng.

Abdullah Mohd Nor

“Segala permasalahan yang masih ada dalam kawasan Parlimen Kimanis harus diselesaikan dengan sebaik mungkin.

“Isu kemiskinan, infrastruktur dan kemudahan asas merupakan perkara pokok yang amat diberi perhatian oleh pengundi.

“Sehubungan itu apa jua kekurangan membabitkan perkara sedemikian harus diatasi secaras berterusan dan bukannya berkala, ” tegas beliau lagi.

Malah katanya, walaupun PRK kali ini adalah satu lawan satu, ia harus menjadi medan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan dan menunaikan segala janji kepada pengundi di kawasan tersebut.

“PRK Kimanis merupakan ujian kedua bagi negeri Sabah setelah PRK Sandakan yang diadakan pada Mei yang lalu menyaksikan kemenangan berpihak kepada PH.

“Sokongan yang padu dari komponen PH kepada calon Warisan diharapkan mampu untuk merampas semula kerusi yang berpihak kepada BN sebelum ini,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, sekiranya PRK Tanjong Piai baru-baru ini menyaksikan kekalahan PH, sudah pasti kali ini PH tidak mahu mengulangi kekalahan tersebut dan mahukan kemenangan diraih semula.

Parlimen Kimanis mempunyai 29,805 pengundi yang mana majoritinya adalah Bumiputera Islam.

PRK Kimanis pada 18 Januari ini akan menyaksikan calon Warisan Datuk Karim Bujang menentang calon BN Mohamad Alamin.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan mahkamah berikutan Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan pilihan raya kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai tidak sah dan batal.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen dikemukakan bekas calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu, sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi berkenaan.

Pada PRU-14, Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 156 undi.