Malaysia Dateline

Cambah ahli, tambah cawangan memastikan AMANAH rampas kerusi milik Pas

AMANAH Negeri Pulau Pinang perlu meningkatkan usaha dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan adanya percambahan ahli dan cawangan menjelang akhir tahun ini.

Demikian saranan Pengerusinya, Dr Roslan Ahmad ketika ditemui selepas majlis perasmian ‘Retreat” AMANAH Kawasan Kepala Batas pada Ahad.

Menurut beliau lagi selain dari usaha untuk menambah ahli dan cawangan seluruh kawasan di Pulau Pinang, tindakan drastik bagi merampas kembali kerusi yang hilang termasuk Parlimen Kepala Batas akan direalisasikan.

“Kita bukan sahaja memberi tumpuan terhadap pertambahan ahli dan cawangan baru, tetapi juga untuk memastikan adanya pertambahan kerusi AMANAH dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Beberapa kerusi yang menjadi milik Pas seperti Dun Penaga ketika ini perlu dirampas kembali.

“Begitu juga kerusi Parlimen Kepala Batas yang ditandingi oleh AMANAH dalam pilihan raya umum yang lalu, turut menjadi aspirasi yang tinggi untuk dirampas semula, ” tegasnya.

Malah tambah Dr Roslan lagi, dengan adanya pertambahan kerusi tersebut, maka ia akan memberi banyak ruang kepada AMANAH untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan komponen yang lain di Pulau Pinang.

Yang pasti ujarnya, kemenangan menjadi suatu matlamat utama yang harus tersemat dalam jiwa semua ahli AMANAH untuk dijadikan kenyataan.

“Selain dari itu, AMANAH Negeri Pulau Pinang juga sedang melipatgandakan kepedulian terhadap masyarakat yang memerlukan.

“Tanpa mengambil kira masa, bangsa dan warna kulit serta ideologi politik, kita akan terus memberi dokongan kepada semua golongan masyarakat.

“AMANAH akan terus memberi khidmat dan pembelaan terhadap mana-mana golongan masyarakat sebagai salah satu amanah dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan berterusan dan bukannya secara berkala atau bermusim, ” jelas beliau.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah Biro Syariah AMANAH Nasional, Ahmad Sayuti Bashiron serta Ahli Jawatankuasanya, Ahmad Miqdad Zakaria.