Nama pelakon terkenal, Mira Filzah telah menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.
Hal ini berikutan tularnya satu dakwaan mengenai sikap seorang selebriti yang baik di depan orang ramai namun biadab ketika berurusan dengan pekerja industri hiburan.
Tiada angin tiada ribut, Mira Filzah tiba-tiba dituduh sebagai selebriti ‘berperangai syaitan’ yang dikatakan pernah membaling skrip kepada kru penggambaran itu.
Menepis spekulasi yang sedang beredar, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman itu tidak tahu mengapa dirinya dikaitkan dengan dakwaan tersebut.
Sedangkan, pelakon Pujaan Hati Kanda itu tidak pernah sekalipun melemparkan barang kepada mana-mana individu selama hampir 10 tahun menceburi bidang seni.
Bahkan, wanita berusia 30 tahun tersebut mengakui tidak pernah mengenali sosok personaliti media sosial yang membuat pendedahan berkenaan, lapor Oh Bulan.
“Kenal dia pun tak. Hampir 10 tahun berlakon, tak pernah saya baling apa-apa pun pada orang,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu memetik laporan Oh Bulan.
Terdahulu, dua orang personaliti media sosial iaitu Sarancak dan Nell Hanan tampil dalam satu sesi audio siar atau podcast yang ditayangkan di laman Youtube.
Menerusi potongan video yang turut dimuat naik di platform TikTok, mereka berdua berkongsi pengalaman ketika bekerjasama dengan seorang selebriti terkenal.
Tanpa mendedahkan identiti, selebriti berkenaan dikatakan begitu baik di hadapan khalayak ramai namun sikap sebenarnya bercanggah malah begitu bermasalah.
Oleh kerana Sarancak dan Nell Hanan tidak menyebut nama, pengguna media sosial mula membuat tekaan sebelum ramai di antara mereka ‘memetik’ nama Mira Filzah.
Namun ramai juga penonton bertindak menegur perbuatan pengguna media sosial tersebut yang ‘main teka’ sehingga secara tidak langsung telah menimbulkan fitnah.
“Sudahlah main teka-teka. Kalau tak rasa berdosa lagi memang kau ini ‘sesuatu’. Takziah dik, ladang dosa ini,” tegur seorang penonton yang prihatin.
“Main petik nama orang pun dikira fitnah. Ingat dia itu patung ke tiada hisab di akhirat nanti? Apa-apa pun kena soal (di Padang Mahsyar) nanti jawab ya.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Bertengkar dengan keluarga, budak lelaki 13 tahun pandu teksi lebih 500km