Malaysia Dateline

Campur tangan politik gagalkan peranan MP bantu rakyat, dakwa Nurul Izzah

Isu pemberian bantuan bakul makanan menjadi perdebatan di Dewan Rakyat sewaktu ucapan perbahasan Menteri Wanita, Pembangunan, Masyarakat dan Keluarga (KWPMK), Datuk Seri Rina Harun yang menyentuh soal peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

Nurul Izzah (PH-Permatang Pauh) membangkitkan isu campur tangan politik yang telah menggagalkan usaha ahli Parlimen untuk menyerahkan bantuan bakul makanan kepada rakyat terjejas sepanjang musim Covid-19.

Beliau mendedahkan, satu surat diterimanya dari Datuk Mansur Othman yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, bagi mengarahkan supaya bakul makanan diberikan menerusi wakil tertentu yang diputuskan peringkat Persekutuan.

“Apakah perancangan kementerian untuk memastikan punca kuasa berpusat di tangan Kementerian Wanita.

“Kita tidak mahu ada lagi campur tangan politik yang akhirnya menggagalkan usaha mengagihkan bakul makanan ini dalam tempoh masa yang diperlukan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Justeru katanya, tidak sewajarnya ada gangguan kementerian lain yang boleh mengganggu gugat tugasan di bawah kementerian Wanita.

“Saya harap atas dasar itu tak ada kementerian lain yang boleh mengganggu gugat tugasan di bawah kementerian wanita.

“Bila bercakap pasal JKM, kita tak nak ada pegawai yang merasa canggung dan kekok untuk bekerja dengan ahli Parlimen di kawasan,” katanya lagi.

Rina kemudiannya berkata, basis asas permohonan bantuan sebenarnya adalah berdasarkan kepada jumlah Parlimen.

Jelasnya, banyak kekeliruan yang ditimbulkan bahawa bakul makanan perlu diserahkan kepada ahli Parlimen, sedangkan ianya perlu diselaras oleh JKM dengan kerjasama pemimpin tempatan dan Ngo

Sementara itu, Teo Nie Ching (PH-Kulai) berdiri dan berkata, sebelum adanya campur tangan politik dalam urusan penyerahan bantuan, ahli-ahli Parlimen dapat bekerjasama rapat dengan JKM.

Namun katanya, secara tiba-tiba kerajaan Persekutuan menarik ‘hand break’ di beberapa kawasan Parlimen Pembangkang.

Beliau mempersoalkan sekiranya kerajaan benar mementingkan rakyat, mengapa perlu menunggu sehingga penyelaras PN dilantik untuk menyerahkan bantuan.

“Sampai mantan Menteri Besar Perak, buat aduan di Twitter, barang sudah sampai tapi terpaksa menunggu PN melantik penyelaras. Ini adalah kelewatan.

“Kalau yang penting adalah rakyat untuk dapat bantuan, kenapa bantuan tak boleh jalan secara terus. Malah perlu tunggu smpai penyelaras dari PN dilantik, barulah peralihan bakul boleh diteruskan,” soalnya.