CAP gesa kerajaan Pulau Pinang atasi banjir lumpur, dedah punca

CAP gesa kerajaan Pulau Pinang atasi banjir lumpur, dedah punca

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang mendedahkan punca kejadian banjir kilat dan banjir lumpur yang melanda kawasan Teluk Bahang, Isnin lalu.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata, kerajaan negeri perlu menjalankan siasatan dan kajian menyeluruh serta mendedahkan punca sebenar banjir kepada rakyat.

“Kejadian yang serius berlaku di kawasan tersebut bukan saja menimbulkan kebimbangan penduduk terlibat, malah CAP amat kesal kerana masalah yang sudah lama berlarutan itu hingga sekarang masih gagal ditangani dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sebelum ini CAP telah banyak menyuarakan kebimbangan dan bantahan tentang kegiatan penerokaan hutan dan pelaksanaan projek pembangunan di tanah tinggi yang berlaku secara berleluasa di negeri itu kerana boleh menjejaskan alam sekitar dan mencetuskan banjir kilat.

Bagaimanapun katanya, banyak kawasan tanah tinggi dan bukit punah ranah diteroka untuk projek pembangunan dan alam sekitar negeri itu semakin hari semakin teruk tercemar.

“Bukit bukau ditarah dan digondol menyebabkan berlakunya tanah runtuh, hakisan serta mendapan lumpur yang serius hingga menjejaskan sistem pengairan, perkampungan penduduk dan kawasan pantai yang menjadi tempat para nelayan mencari rezeki,” katanya lagi.

Selain Teluk Bahang, beliau berkata, kawasan berisiko tinggi yang terdedah kepada  banjir kilat dan banjir lumpur dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ialah Permatang Damar Laut, Batu Maung, Sungai Batu, Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan Sungai Ara.

Justeru, CAP meminta kerajaan Pulau Pinang mengkaji semula projek pembangunan yang sedang dilaksanakan agar ia tidak mencetuskan ancaman banjir kilat dan banjir lumpur pada masa akan datang.

“Sebarang projek pembangunan di tanah tinggi yang boleh memusnahkan hutan, menjejaskan kawasan tanah air, mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan perlu diharamkan pelaksanaannya oleh kerajaan negeri ini,” katanya.

TAGS