Malaysia Dateline

Capai imuniti kelompok, wakil rakyat DAP sedia khidmat vaksinasi bergerak

Malaysia telah mencatatkan hari ketiga berturut-turut dengan lima digit kes baru Covid-19 harian, dengan 13,215 kes baru yang diumumkan semalam.

Dalam memastikan wabak Covid-19 dapat ditangani dan kehidupan serta ekonomi rakyat dapat kembali normal, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan usaha penting yang dilakukan oleh kerajaan untuk memberi vaksin kepada rakyat Malaysia.

Justeru, dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok, penglibatan dari semua individu di Malaysia adalah penting demi memastikan kejayaan PICK.

Oleh itu, sejak awal PICK, DAP secara konsisten menyokong program ini dan bahkan berusaha keras untuk memastikan bahawa vaksin benar-benar sampai kepada rakyat.

Salah satu inisiatif yang telah dilakukan oleh wakil rakyat DAP dalam memastikan kejayaan PICK adalah dengan membantu proses pendaftaran vaksin dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma untuk golongan kurang berkemampuan, orang kurang upaya (OKU) dan warga tua untuk mengantar mereka ke pusat pemberian vaksin (PPV) dengan selamat.

Antaranya, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang menjalankan program tersebut untuk memudahkan pergerakan penduduk di kawasannya.

“Kami memahami bahawa kebanyakan warga emas, OKU dan wanita mengandung mengalami masalah pengangkutan untuk menerima vaksin terutamanya semasa janji-temu vaksin diadakan di PPV yang jauh dari tempat tinggal.

“Kami mengambil contoh En.Yip, 71 tahun yang menerima vaksin pada pagi ini. Beliau tinggal di Seremban dan telah dihantar ke PPV di Klinik Kesihatan Nilai yang jaraknya 25km dari rumahnya,” katanya.

Jelasnya, kos pengangkutan ini dibiayai melalui peruntukan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban.

“Pada masa yang sama, kami juga dapat membantu pemandu teksi yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, mereka juga telah melakukan inisiatif Pusat Vaksinasi Bergerak melalui “Bas Vaksin” yang akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

“Adalah diharapkan inisiatif ini akan memudahkan lebih ramai penduduk luar bandar menerima vaksin dan menyokong usaha mencapai immuniti kelompok dengan lebih cepat,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee juga tidak ketinggalan dalam usaha untuk menyediakan khidmat PPV Bergerak khas untuk memudahkan warga Pasir Pinji mendapatkan vaksin.

“Manfaatnya bakal dirasai oleh segenap warga Ipoh yang antaranya warga tua yang terlantar di rumah, orang-orang OKU yang sukar bergerak, orang fakir miskin yang terputus teknologinya, dan penduduk-penduduk kampung yang tiada pengangkutan,” jelasnya.

Selain itu, ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei merupakan antara wakil rakyat terawal yang menggerakkan inisiatif menyediakan perkhidmatan menghantar warga tua dan OKU ke PPV.

Inisiatif kerjasama bersama syarikat e-hailing, GoCar Malaysia ini melibatkan khidmat penghantaran ke PPV di kawasan Petaling, termasuk Hospital Shah Alam, Pusat Perubatan Univeristi Malaya, IDCC Shah Alam dan Sunway Pyramid Convention Centre.

“Bagi warga emas, OKU atau anak-anak yang ingin memohon bagi pihak ibu bapa atau datuk dan nenek, boleh hubungi hotline 1300-30-2633 atau isi borang di website atau di aplikasi GoCar,” jelas Yi Wei.

Diharapkan dengan usaha kecil ini, Malaysia akan berjaya mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dan rakyat Malaysia dapat kembali hidup normal seperti sebelum ini.