Walaupun bukan dari parti politik yang sama, dapat dilihat negeri pembangkang mula memberi kerjasama dengan kerajaan Perseketuan.
Ini dapat memberi lebih banyak peluang buat menaik taraf tempat demi kesenangan rakyat tanpa memikirkan perbezaan fahaman politik.
Menurut Harian Metro, kerajaan negeri Terengganu mahu memfokuskan persamaan dan mengetepikan perbezaan dengan kerajaan Persekutuan.
Perkara tersebut dipersetujui bagi memastikan hubungan baik demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri mengulangi komitmen tidak berbelah bagi mencapai hasrat tersebut.
Ia adalah disebabkan terdapat banyak persamaan hala tuju, dasar dan pendekatan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya, sasaran kerajaan persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara termasuk Terengganu, antara satu hala tuju yang sama seperti pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Sasaran kerajaan persekutuan terutama menoktah kemiskinan tegar, usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tatakelola, pentadbiran yang berintegriti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat banyak persamaan dengan agenda kerajaan negeri.
“Jika disenaraikan satu per satu, sudah pasti kita dapati terlalu banyak persamaan hala tuju, dasar dan pendekatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Pada masa sama Ahmad Samsuri memaklumkan, hasil usaha bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan, kadar kemiskinan tegar dapat dikurangkan.
“Kerajaan negeri berpendirian tidak berbelah bagi dan sangat jelas serta penuh iltizam bahawa pintu rumah sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan baik antara kerajaan persekutuan demi kesejahteraan rakyat.
“Kami sentiasa membuka pintu rumah yang menggambarkan keyakinan kami, bahawa hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, seharusnya sentiasa positif, bertambah baik.
“Seperti peribahasa melayu, tak ada kusut yang tidak boleh selesaikan dan tiada kekeruhan yang tidak mampu dijernihkan,” tambahnya.
Baca juga: Sokong Kerajaan Perpaduan, Hamzah maklum surat akan dihantar kepada 7 ahli secara serentak