Penyanyi rap kontroversi, Caprice menerima arahan untuk menghadirkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur esok pada jam 10.30 pagi.
Difahamkan, pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu dipanggil selepas memuat naik satu rakaman reaksi berhubung kes pelanggaran pelajar melibatkan pegawai kanan polis.
Menerusi video berkenaan, penyanyi berusia 33 tahun itu dikatakan telah bertindak menggelarkan deputi superintendan polis tersebut dengan menggunakan kata kesat.
“Seorang yang ada seragam biru, yang patut jaga keselamatan kita akhirnya menjadi seorang p****k dan bunuh budak sekolah,” ujar Caprice di dalam video berkenaan.
Walau bagaimanapun, video itu telah dipadam oleh Caprice sejurus ia tular kerana dianggap melanggar garis panduan kandungan (content) di laman media sosial.
Berjaya mencuri tumpuan ramai, perkara tersebut dimaklumkan oleh pelantun lagu Baby Sayang itu menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Pada mulanya, Caprice mendakwa dipanggil untuk hadir ke IPD pada petang ini (Khamis), namun hantaran kedua dikongsinya mengatakan ia ditangguhkan kepada esok hari.
“IPD Dang Wangi baru telefon dan cakap tak jadi (hadir ke balai) pada 2 petang. Mereka tangguhkan kepada hari esok pada pukul 10.30 pagi,” tulis Caprice di hantaran Instastory.
Terdahulu, berlaku satu insiden pada Khamis lalu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, di Ipoh membabitkan sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis dan motosikal ditunggang seorang pelajar.
Penunggang motosikal iaitu Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang ketika itu dalam perjalanan pulang daripada sekolah dilaporkan maut dalam insiden terbabit.
Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas remaja berusia 17 tahun itu mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian dada dan juga abdomen.
Kes pelanggaran melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini begitu mencuri tumpuan ekoran suspek merupakan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan.
Integriti polis turut dipersoal apabila pegawai penyiasat kes didapati memiliki hubungan sebagai rakan dengan suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu.