Cara-cara menghadapi tipudaya SPR yang berat sebelah

Belum pun tiba hari penamaan calon, SPR telah mengeluarkan garis panduan baharu bagi bahan kempen untuk PRU 14. Antara lain, garis panduan SPR itu menyatakan bahawa penggunaan gambar pemimpin utama parti politik hanya dihadkan kepada gambar 2 orang pemimpin utama parti politik iaitu Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) bagi parti politik yang bertanding (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon). Jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan.

Tindakan SPR ini sangat pelik dan aneh. SPR terang-terang ingin mengikat PH daripada menggunakan gambar Tun Mahathir sebagai daya penarik kempen Pakatan Harapan. Hal yang sama tidak dihalang ke atas BN dan PAS.

PH telah ditekan semenjak belum bermulanya penamaan calon. Selepas diikat sebegitu, PH akan ditendang dan dipukul sebelum dibenarkan bertarung atas padang yang tidak sama rata. Di manakah janji SPR untuk melaksanakan pilihan raya yang adil dan bersih?

Syarat yang sebegitu pelik tidak pernah dilaksanakan dalam mana-mana PRU yang lepas. Kali ini nampaknya ancaman PH begitu besar kepada BN. Bermula dengan persempadanan semula yang memihak kepada BN, kemudian diikuti dengan tindakan Pendaftar Pertubuhan yang telah mengharamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan seterusnya penwartaan hari Rabu sebagai hari mengundi. Kini terbaharu, SPR menggunakan kuasanya untuk menghalang pengunaan bahan kempen yang tidak adil.

Tun Mahathir kini bukan sahaja menjadi ancaman kepada BN bahkan menjadi ancaman kepada SPR itu sendiri. SPR sudah dibayangi dengan bayang-bayang PH sehingga SPR mudah sekali menjadi alat untuk memenangkan BN. Tiada rasionalnya untuk menghalang penggunaan gambar Tun Mahathir. Tun Mahathir bukanlah pengganas malah Tun Mahathir telah begitu berjasa kepada negara sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri untuk tempoh 23 tahun.

Tindakan sebegitu adalah sangat tidak bermaruah yang dilakukan oleh SPR. SPR sepatutnya menjadi sebuah badan bebas yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Kini dengan tindakan sebegitu, SPR jelas telah menghalang PH daripada memaksimakan kempennya. PH sendiri telah mengumumkan bahawa Tun Mahathir adalah calon Perdana Menteri dan sepatutnya semua calon dibenarkan untuk berkempen mengikut kreativiti masing-masing.

Tindakan SPR ini jelas sekali adalah bertentangan dengan Seksyen 5(1)(a) Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) yang menyatakan, “Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah— (a) menjalankan kawalan dan penyeliaan ke atas penjalanan pilihan raya dan pendaftaran pemilih dalam daftar pemilih, dan hendaklah menentukan supaya semua pegawai pilihan raya menjalankan tugasnya dengan adil, tidak berat sebelah serta mematuhi Bahagian VIII Perlembagaan dan Akta ini dan mana-mana peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

Cubaan SPR menghalang gambar Tun Dr Mahathir amat pelik.

Tindakan ini adalah tindakan yang berat sebelah dan tidak adil bagi PH. Namun, PH tidak seharusnya cepat kecewa dan mengalah dengan tindakan berat sebelah ini. PH masih lagi mempunyai cara-cara yang ampuh untuk menentang BN dan kuncu-kuncunya ini.

Jika dilihat kepada Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), ianya hanya dirujuk kepada calon dan wakil calon (ejen pilihan raya) sahaja. Ini bermakna jika ianya dilakukan oleh pengundi itu sendiri maka ianya tidak bersalahan dengan mana-mana peruntukan undang-undang.

Keduanya, bahan kempen yang dirujuk dalam seksyen tersebut adalah bahan kempen tradisional iaitu iklan, risalah, brosur, bendera, panji-panji, sepanduk, tetunggul, poster, pelekat, surat sebaran, label atau apa-apa bentuk papan iklan sementara sahaja.

Ini bermakna bahan kempen moden tidak terikat dengan seksyen ini seperti penggunaan dalam laman web, facebook dan whatsapp. Begitu juga dengan wajah Tun Mahathir jika dicetak di atas baju atau topi tidaklah boleh dikatakan melanggar garis panduan tersebut. Justeru, PH perlu memaksimakan penggunaan teknologi terkini supaya tidak terikat dengan garis panduan SPR itu.

Maka, tindakan yang perlu dibuat oleh PH adalah untuk membanjirkan seluruh media sosial dan persekitaran dengan bahan kempen yang tidak termasuk dalam definisi bahan kempen di bawah Seksyen 24B itu. PH juga perlu menggalakkan pengundi untuk berpakaian yang mempunyai wajah Tun Mahathir.

Bayangkan mesej yang boleh disampaikan kepada orang ramai jika jutaan pengundi memakai baju yang bercetak gambar Tun Mahathir. Oleh itu, penyokong PH usahlah berduka dengan garis panduan SPR ini. Yang penting adalah berfikir di luar kotak untuk mengakali akal SPR yang sempit ini.

COMMENTS

Wordpress (0)