Malaysia Dateline

Cara fikir orang agama agak pelik dalam isu pil PrEP

Agak pelik dengan cara berfikir sebahagian orang agama. Pelbagai usaha untuk mencegah mudarat besar atau lebih besar acap kali dilihat dari sudut pandang negatif. Apatah lagi jika usaha itu dibuat oleh pihak yang berlainan pendirian politik dengan mereka.

Meskipun mereka sendiri pernah berhujah dengan mudarat kecil vs mudarat besar dalam keputusan politik, apabila hujah yang sama diguna oleh pihak lain, dalam bidang kehidupan yang lebih luas, kaedah itu ditanggapi secara negatif. Muara cara berfikir begini ialah rasa diri suci atau rasa lebih beragama, lebih Islam berbanding pihak lain.

Apa contohnya?

Suatu ketika dulu, ketika subjek pendidikan seks mahu diperkenalkan di sekolah, ada agamawan berhujah, tindakan ini mengajar pelajar atau remaja berbuat sumbang, atau istilah lain, zina. Mengapa ke situ perginya cara berfikir agamawan kita?

Padahal subjek berkenaan diperkenalkan antara lain bertujuan mendidik remaja agar tahu dan faham risiko melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Hanya pengetahuan yang benar tentang biology tubuh manusia mampu mendidik mereka menjaga kehormatan diri.

Ya, pihak yang memperkenalkan subjek itu juga faham, pendidikan sebegitu mendedahkan remaja kepada keinginan untuk “mencuba”, tetapi mudarat keinginan untuk mencuba itu kecil berbanding kebaikannya. Pintu untuk mencuba memang terbuka tetapi itu bukan alasan untuk menutup pintu-pintu kebaikan yang lain.

Dulu saya berpengalaman menyertai satu forum berkaitan bank bayi. Seimbas lalu, cadangan pewujudannya seolah-olah bertujuan menggalakkan remaja berzina apabila anak-anak hasil hubungan tidak sah itu bakal disantuni oleh pihak berkuasa. Itu sudut pandang negatif yang ada benarnya. Tetapi jangan sampai sudut pandang itu menutup suatu sudut pandang lain yang positif.

Iaitu, pewujudan bank itu bertujuan membela nasib ibu-ibu dan anak-anak yang menjadi mangsa rogol. Ibu-ibu apatah lagi anak-anak, mereka tidak bersalah. Sebagai mangsa keadaan, mereka wajib dibela. Kenapa usaha membela ibu-ibu dan anak-anak tertindas itu ditinjau dari sudut negatif semenjak awal?

Dalam kedua-dua kes tadi iaitu pendidikan seks dan bank bayi, mengapa zina, sumbang, hubungan songsang yang menjadi lintasan awal pemikiran agamawan? Mengapa usaha sebegitu tidak ditelaah secara jujur dan mendalam, dapatkan maklumat yang tepat daripada pakarnya sebelum kesimpulan dibuat. Salah satu masalah agamawan kita ialah simplistik berfikir.

Sama juga halnya dengan dengan isu bekalan ubat PrEP untuk mengekang penularan HIV. Agamawan Pas (baca lebai) terus melihatnya dari sudut negatif kononnya untuk menggalakkan hubungan songsang dan menormalisasikan perbuatan itu dalam kalangan masyarakat. Aduh, kenapa ke situ saja otak lebai? Alat di bawah perut juga yang difokusnya!

Tak bolehkah lebai fikir sikit jauhlah selain penyalahgunaan alat bawah perut itu? Kenapa tak fikir, ubat itu adalah sebahagian usaha mengekang penularan HIV dalam kalangan penagih dadah, isteri yang suaminya pembawa HIV dan anggota perubatan yang terlibat dengan rawatan untuk pembawa HIV? Kenapa, apabila sebut saja HIV, terbayang zina dan homoseks? Biru benarlah otak lebai!

Nanti lebai kata, siapa suruh jadi penagih dadah? Lebai, bukan semua penagih dadah memilih menjadi penagih. Ada yang menjadi mangsa keadaan. Begitu juga pengidap HIV, bukan semuanya kerana zina atau hubungan sumbang. Ada sebab-sebab lain yang kadang-kadang bukan pilihan mereka pun untuk memikul musibah itu.

Agamawan atau lebai sebegini perlu melatih otak untuk berfikir tentang pelbagai isu masyarakat dari pelbagai dimensi. Barulah tasawwur atau gambaran tentang sesuatu isu dapat dicerna dengan baik oleh otak. Jangan melihat hanya dimensi zina, sumbang, homoseks dan bla bla bla. Ada banyak dimensi lain yang perlu diteroka dengan jujur dan berjiwa rahmah.

Tapi, kadang-kadang susah mengajak lebai berfikir dalam pelbagai dimensi dalam isu-isu sensitif dan kritikal begini. Nanti dikatanya, hang tu liberalis! Hu hu…