Malaysia Dateline

Cara kerajaan PN tangani MAS, UEM membimbangkan

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil menyifatkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani beberapa isu membabitkan syarikat besar UEM Sunrise Berhad dan Malaysia Airlines Berhad, amat membimbangkan.

Menurutnya, kedua-dua syarikat itu yang dimiliki Khazanah Nasional dikhuatiri akan terjejas teruk akibat keputusan pengurusan ketika ini yang tidak munasabah dan meragukan.

Beliau mempersoalkan kewajaran penggabungan UEM Group dan Eco World Development Group Berhad dalam keadaan syarikat swasta itu mempunyai rekod hutang yang tinggi.

Jelas Faiz (gambar), menerusi penggabungan dua syarikat itu juga, Khazanah Nasional akan mempunyai ‘exposure’ ataupun pegangan yang lebih tinggi dalam sektor pembangunan hartanah.

“Penggabungan kedua-dua pemaju hartanah ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan menerusi Khazanah Nasional dan UEM Group mahu menyelamatkan Eco World, yang jelas menghadapi beban hutang yang tinggi.

“Apakah rasionalnya tindakan meningkatkan ‘exposure’ dalam sektor hartanah pada ketika industri ini dibelenggu sentimen yang lemah?

“Bukan itu sahaja, entiti baharu yang akan lahir daripada penggabungan ini akan menanggung inventori unit komersial dan kediaman besar pada ketika pasaran hartanah tidak menikmati permintaan yang kukuh seperti enam hingga tujuh tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahkan, ujar Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu lagi, penggabungan dua itu akan lebih menguntungkan Eco World berbanding UEM Sunrise.

Setakat 31 Julai 2020, Eco World mempunyai hutang melebihi RM3.4 bilion walaupun pegangan tunai dan setara tunainya adalah hanya RM275.31 juta.

Eco World juga dilaporkan menghadapi aliran tunai yang ketat pada masa pasaran perumahan lembab dan permintaan pembeli berada pada paras yang rendah.

Pada perkembangan lain, Faiz turut menekankan kelangsungan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, yang dimiliki penuh oleh Khazanah Nasional.

Beliau menyelar sikap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang didakwa lepas tangan dalam isu pemulihan Malaysia Airlines selepas mengumumkan kerajaan tidak akan menyuntik dana bagi membantu syarikat penerbangan tersebut.

Tegasnya, memandangkan Khazanah Nasional terus melengah-lengahkan keputusan menjual Malaysia Airlines sehingga kini, adalah menjadi tanggunjawab kerajaan memastikan masa depan syarikat dan pekerjanya terjamin.

“Adakah Kerajaan PN tidak prihatin terhadap nasib dan periuk nasi 12,000 pekerja Malaysia Airlines, yang majoritinya adalah rakyat Malaysia?

“Saya menggesa pihak kerajaan dan Menteri Kewangan memandang masalah yang dihadapi Malaysia Airlines dengan lebih serius.

“Ketepikan sebarang kriteria yang perlu dipenuhi, dan bantu Malaysia Airlines menangani masalah kewangannya terutamanya desakan pemiutang,” katanya lagi.