Malaysia Dateline

Cara terbaharu Alibaba tingkatkan agenda ekonomi digital Malaysia

Usaha Malaysia membangunkan agenda ekonomi digital mendapat sambutan memberangsangkan selepas menerima penyertaan 30 pegawai dari 19 kementerian dan agensi dibawahnya pada Bengkel Ekonomi Baharu Sekolah Perniagaan Alibaba.

Delegasi acara empat hari yang bermula pada 4 Mac lepas yang berlangsung di ibu pejabat Kumpulan Alibaba di Hangzhou, China, itu diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Turut serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corp Surina Shukri.

Para pegawai yang menyertai bengkel itu kesemuanya terlibat dalam memacu agenda ekonomi digital Malaysia dan pembuat dasar e-dagang.

“Bengkel ini bertujuan memperkasa peserta dengan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mengenai elemen penting dalam pembangunan ekonomi digital Malaysia.

“Mereka diharapkan menjadi jurulatih di kementerian dan agensi masing-masing untuk menambah baik pembangunan modal insan dalam bidang ekonomi digital,” kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Industri dalam kenyataan dikeluarkan bersama hari ini.

Bercakap pada perasmian bengkel itu, Darell berkata pegawai terlatih itu akan mengukuhkan usaha bersama MITI dan kementerian lain dalam melaksanakan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan 2016-2020 dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh serta kesejahteraan masyarakat di Malaysia .

Bengkel Ekonomi Baharu itu adalah komitmen berterusan syarikat Alibaba dalam memberi sokongan kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

— BERNAMA