Malaysia Dateline

Cargill teroka peluang pelaburan baharu di Malaysia

Firma perkhidmatan pertanian, Cargill Holdings (Malaysia) Sdn Bhd, yang meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan di negara ini pada 2018, sedang meneroka peluang pelaburan baharu.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, David W MacLennan berkata peluang itu sama ada dalam produk minyak makan atau sektor hiliran, yang menjadi tumpuan kerajaan dalam usaha melangkah ke hadapan.

“Kita tidak boleh mengeluarkan lagi produk asas kerana mempunyai peserta lain yang lebih berdaya saing. Negara jiran kita, Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, menghasilkan lebih banyak berbanding Malaysia.

“Dalam mengurangkan paras bekalannya, Indonesia melaksanakan pelbagai usaha, termasuk pengumuman baru-baru ini mengenai levi sifar bagi setiap tan (daripada US$50 satu tan sebelum ini) selain mewujudkan program biodiesel B30,” katanya kepada Bernama.

Ketika bekalan minyak sawit Malaysia boleh mencecah 3.5 juta tan menjelang akhir tahun ini, Indonesia pula akan mencapai lima juta tan, menurut penganalisis perladangan.

MacLennan berkata berdasarkan pengeluaran yang tinggi didorong cuaca baik tahun ini, bekalan minyak makan itu di seluruh dunia semakin meningkat dalam keadaan permintaan berkurangan.

“Bagaimanapun dengan usaha kerajaan Malaysia ke arah pelaksanaan biodiesel B10 tahun depan, kita boleh menyaksikan paras inventori minyak sawit diturunkan sekurang-kurangnya sebanyak 750,000 tan setahun,” katanya.

Ketika ditanya sama ada penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) kepada bawah RM2,000 satu tan baru-baru ini telah memberi manfaat kepada syarikat, beliau berkata: “pastinya apabila harga rendah kami mahu membeli lebih banyak memandangkan kami mahu memproses dan mengeskport dalam jumlah yang tinggi, namun, keseluruhannya ia bergantung kepada permintaan, serta persekitaran perniagaan pada masa kini.

“Ia merupakan margin yang baik namun anda juga mahu membantu industri, di Cargill, hampir 100 peratus bahan mentah kami bersumberkan tempatan dan sejumlah besar pembekal kami adalah pekebun kecil,” katanya.

MacLennan berkata pihaknya bekerjasama dengan sehingga 760 pekebun kecil dan daripada jumlah itu 261 diperakui Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Beliau berkata masalah utama yang dihadapi Cargill adalah memastikan pekebun kecil dapat diperakui RSPO dan MSPO.

Pematuhan pensijilan MSPO akan dikuatkuasakan menjelang akhir 2019 untuk mempertingkat industri kepada standard global.

“Ia bukanlah hanya untuk mendapatkan pensijilan semata-mata malah apa yang kami mahu laksanakan ialah memupuk pemikiran kelestarian dalam kalangan mereka dan ia merupakan cara untuk maju pada masa depan.

“Menjelang 2020, kami mahu memastikan rantaian bekalan kami boleh dikesan asalnya dan telus. Kami sedang berusaha untuk mencapai perkara ini dalam rantaian bekalan kami.

“Kami bekerja bersama pengilang, pekebun dan mereka yang mengusahakan estet kecil – untuk memajukan mereka ke peringkat kelestarian tertentu supaya mereka boleh diperakui dan pada masa sama memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1978 di Malaysia, Cargill telah melabur hampir RM1.8 bilion untuk memperkukuh operasinya di sini.

Hari ini syarikat itu mempunyai operasi di sembilan lokasi dan memiliki lebih 750 pekerja tempatan.

Pertumbuhan perniagaannya di Malaysia dipacu oleh permintaan global yang kukuh bagi minyak dan lelemak khusus; permintaan serantau bagi koko dan bahan ramuan khas; serta permintaan tempatan terhadap lebih banyak produk ayam dan makanan laut – yang menunjukkan peluang perniagaan nutrisi haiwan Cargill.

Pasukan serantau bagi perdagangan, jualan dan pemasaran produk koko dan coklat Cargill turut ditempatkan di Malaysia, serta bagi bahan ramuan khusus.

Syarikat ini juga menapis dan mengeksport minyak dan lelemak sayuran nilai tambah kepada pasaran global, menghasilkan penyelesaian nutrisi haiwan bagi penggunaan domestik serta mengedar bijirin dan biji minyak di peringkat tempatan.

Cargill merekodkan perolehan US$104 bilion pada tahun lepas, daripada jumlah itu 29 peratus disumbangkan oleh operasi di Asia Pasifik.

— BERNAMA