Malaysia Dateline

Cari idea tambah peluang kerja, jangan asyik salahkan rakyat

Perikatan Nasional (PN) tidak wajar menyalahkan graduan universiti dalam isu kegagalan siswazah mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerajaan PN seharusnya mencari idea bagaimana untuk menambah peluang pekerjaan dalam kalangan graduan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu, kerajaan perlu meningkatkan sentimen perniagaan serta menarik kemasukan pelabur bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi.

“Rangsangkan ekonomi dan tarik lebih banyak pelaburan supaya menambah peluang pekerjaan.

“Jangan asyik salahkan rakyat, orang muda bukan suka-suka memilih-milih kerja,” kata bekas Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim bahawa terlalu memilih lokasi pekerjaan dan mempunyai kemahiran insani yang rendah sebagai antara punca utama siswazah di negara ini gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.

Berkata pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara semalam, Awang memberitahu kelulusan atau PNGK yang rendah juga menyebabkan majikan kurang berminat untuk menggaji calon-calon dalam kategori tersebut selain ketidaksepadanan antara bidang pengajian sesetengah siswazah dengan pasaran pekerjaan.

Mengikut Laporan Statistik Siswazah 2016, jelasnya, jumlah siswazah menganggur pada 2016 ialah seramai 145,800 orang atau empat peratus sementara pada 2017 seramai 154,500 orang (4 peratus); seramai 161,300 orang (3.9 peratus) pada 2018 dan 170,300 orang (3.9 peratus ) pada tahun lalu.

Terdahulu, Senator Idris Ahmad membangkitkan persoalan tentang statistik berkenaan pengangguran dalam kalangan yang memiliki ijazah pertama sejak 2015 hingga Julai lalu.