
Cari jalan satukan kekuatan lawan PN
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mendesak agar semua pihak mencari jalan yang terbaik supaya kekuatan dapat disatukan untuk menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN)
Menerusi rakaman Facebook Ahli Parlimen Parit Raja itu, beliau berkata, ini yang perlu dihadapi gabungan pembangkang dalam usaha menggulingkan pemerintah zalim yang mengkhianat keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Pemerintah semasa telah menguji keimanan dan jihad kita untuk menegakkan keadilan.
“Oleh itu semua hendaklah mencari jalan yang terbaik supaya kekuatan dapat disatukan di kalangan golongan yang tertindas agar bebas daripada pemerintah zalim yang sedang memerintah Malaysia.
“(Mereka) mendapatkan kerajaan bukan secara demokrasi, tetapi dengan gerakan Sheraton demi untuk merampas kuasa dengan mengumpul wakil rakyat untuk menyokong mereka,” katanya.
Pada masa sama kata Mohamad, kerajaan hari ini hanya mementingkan kuasa untuk menggerakkan agenda mereka sekaligus mengenepikan suara rakyat dan suara demokrasi.
Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tunggak pembangkang menghadapi masalah untuk menyatukan semua pembangkang apabila Ketua Pembangkang yang mengetuai PH, Datuk Seri Anwar Ibarahim tidak mahu bekerjasama dengan pembangkang lain sekarang.
Ini kerana beliau tidak boleh bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga mempunyai pengaruh di kalangan pembangkang yang lain.
Baru-baru ini, Mohamad yang memimpin AMANAH membuat kenyataan bersama dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut agar dibentuk gabungan besar (grand coalition) dengan semua pembangkang.
Namun kenyataan ini tidak disenangi oleh Anwar sehingga membatalkan mesyuarat Majlis Presiden PH yang sepatutnya berlangsung sehari selepas itu.